
ISTILAH ‘parti tepu’ digunakan oleh pengkritik untuk menuduh PAS sebagai parti yang kononnya sudah sarat dan mandek kerana kepimpinan tertinggi tidak berubah. Implikasinya, kami konon kehilangan idea baharu dan strategi segar hanya kerana pucuk pimpinan kekal terlalu lama. Tuduhan ini muncul lantaran kami mengumumkan bahawa kelima-lima jawatan tertinggi Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden dimenangi tanpa bertanding dalam pemilihan terkininya. Dalam wacana politik moden, label ‘parti tepu’ membawa konotasi sebuah parti yang stagnan, kurang pembaharuan dalam kepimpinan dan mungkin tandus inovasi politik dan mundur serta ketinggalan.
Namun, adakah tiadanya pertandingan jawatan semestinya petanda ketumpulan sesebuah parti? Dari sudut kami di dalam PAS, isu ini mesti dilihat secara lebih holistik, bukan simplistik. Banyak parti politik lain di dalam dan luar negara kerap bergelumang dalam perebutan jawatan secara terbuka yang akhirnya merugikan parti sendiri. Ada yang terpecah kepada puak-puak, ada yang kehilangan kestabilan dalam kerajaan hanya kerana pertandingan dalaman yang berlebihan. Bahkan ada parti yang pemimpinnya sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan hanya kerana kalah dalam pemilihan dalaman. Tindakan sebegini memberi isyarat bahawa perebutan kuasa lebih diutamakan daripada amanah rakyat.
Pada masa yang sama, dalam beberapa konteks antarabangsa, kepimpinan yang konsisten diiktiraf sebagai aset. Kita mengetahui contoh seorang pemimpin di Eropah yang memimpin negara maju selama lebih sedekad setengah dan sering dijadikan simbol kestabilan serta kesinambungan dasar. Ini menunjukkan bahawa tempoh kepimpinan yang panjang tidak semestinya negatif; ia boleh membawa kestabilan dasar dan arah tuju jelas, selagi kepimpinan itu responsif, berakauntabiliti dan diyakini rakyat. Oleh itu, keputusan kami mengekalkan lima jawatan tertinggi tanpa pertandingan wajar dinilai dengan lebih nuansa: apakah maknanya kepada kohesi dalaman, strategi jangka panjang dan disiplin organisasi kami? Apakah tiadanya pencabar lahir daripada budaya autoritarian atau sebenarnya hasil konsensus tinggi di semua peringkat? Bagaimana prinsip politik Islam dan syura, amanah dan maslahah menerangkan pendekatan ini?
Daripada perebutan ke perpaduan strategik
Dalam sains politik moden, political cohesion (kohesi politik) merujuk kepada kesepaduan dan solidariti ahli yang bergerak ke arah objektif bersama. Tahap kohesi yang tinggi memastikan kerja berpasukan, disiplin dan keselarasan tindakan, sekaligus meningkatkan keberkesanan organisasi. Dalam pengalaman kami, kohesi itu terzahir apabila ahli sepakat menyokong kepimpinan sedia ada tanpa merasakan perlu mencabar, petanda kuatnya kepercayaan kolektif terhadap hala tuju semasa. Pandangan ini serasi dengan gagasan sarjana-sarjana klasik dunia Islam mengenai ikatan solidariti komuniti yang mengikat individu pada tanggungjawab kolektif dan maslahat bersama.
Kohesi politik sebagai modal kepimpinan
Kerangka penting yang lain ialah party institutionalization (institusionalisasi parti). Seperti dihujahkan oleh Samuel P. Huntington (1968), penginstitusian bermaksud organisasi politik memperoleh nilai dan kestabilan yang mantap: struktur jelas, hierarki berfungsi, prosedur yang dipatuhi serta tingkah laku politik yang boleh dijangka. Parti yang mapan tidak mudah terumbang-ambing oleh gejolak sementara. Dalam cermin teori ini, kestabilan pimpinan tertinggi tanpa cabaran bukan tanda ketandusan, sebaliknya indikator bahawa institusi parti berfungsi dan diterima.
Kesannya ialah leadership consolidation (pengukuhan kepimpinan): barisan teras mendapat mandat dan sokongan padu untuk mengemudi dengan halatuju jelas tanpa gangguan pergolakan musiman. Dalam kerangka siyāsah syar‘iyyah, pandangan al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah mengenai keabsahan melanjutkan kepimpinan yang amanah dan tidak menyalahi syariat demi kestabilan masyarakat menambah legitimasi normatif kepada amalan ini.
Syura, amanah dan maslahah: Kompas keputusan
Kritik lazim menyebut konsolidasi boleh menjejaskan intra-party democracy (demokrasi dalaman parti). Pada kami, demokrasi dalaman tidak bermakna wajib ada pertandingan sengit setiap kali. Hakikatnya, tiada larangan untuk menawarkan diri; namun ketiadaan pencalonan bagi jawatan tertinggi menggambarkan muafakat akar umbi yang meluas. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sendiri pernah menegaskan bahawa beliau mengalu-alukan sekiranya ada calon yang difikirkan lebih layak untuk dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, tetapi ketiadaan pencalonan menunjukkan ahli memilih untuk mengekalkan saf kepimpinan sedia ada. Inilah intipati syura: keputusan besar digarap melalui musyawarah panjang merentasi cawangan, kawasan, negeri dan Majlis Syura; apabila sampai ke Muktamar, kesepakatan sudah terbina.
Di peringkat teori organisasi, Robert Michels mengemukakan iron law of oligarchy organisasi besar cenderung membentuk kelompok pemimpin teras demi keberkesanan pentadbiran. Islam memberikan bingkai etika untuk mengawal kecenderungan ini: kepimpinan ialah amanah, bukan trofi; permintaan jawatan tanpa kelayakan ditegah; pertanggungjawaban kepada Allah dan anggota menjadi neraca. Dengan disiplin syura dan amanah, konsolidasi kepimpinan bergerak dalam landasan yang sah dan terkawal.
Bagi kami, Muktamar Tahunan adalah kemuncak kepada demokrasi dalaman PAS. Ia bukan bermula di peringkat pusat semata-mata, tetapi lahir daripada proses panjang yang merangkumi mesyuarat cawangan, kawasan dan negeri. Justeru, apabila sampai ke Muktamar, keputusan mengenai kepimpinan dan dasar sudah pun dibincangkan dan dimatangkan di semua peringkat. Inilah yang menjadikan Muktamar satu manifestasi sebenar demokrasi berasaskan syura dalam PAS.
Konsolidasi kepimpinan, legitimasi kolektif
Daripada sinilah lahir collective legitimacy (legitimasi kolektif) keabsahan yang disandarkan pada penerimaan dan konsensus bersama, bukan semata-mata pemenang undi popular jangka pendek. Demokrasi dalaman juga boleh mengambil bentuk demokrasi bermusyawarah, bukan semestinya demokrasi adversarial. Kami memilih konsensus institusional berbanding contestasi adversarial kerana pertimbangan maqasid syariah: mengelak mudarat perpecahan dan memelihara maslahat jamaah didahulukan.
Sejalan dengan itu, sebagaimana pernah dihujahkan oleh Dr Tengku Muhammad Fakhruddin ialah Pengarah Jabatan Penerangan Polisi dan Dasar, Dewan Pemuda PAS bahawa kestabilan sendiri ialah ‘nilai tambah politik’ dalam iklim sarat polemik dan pertukaran pemimpin yang kerap. Konsolidasi tidak bererti jumud: peremajaan idea berlaku melalui sayap Pemuda, Muslimat dan lain-lain sebagai ‘makmal idea’ yang membekalkan inovasi ke meja kepimpinan.
Justifikasi berasaskan bukti dan fakta
Sejarah kami konsisten dengan kepimpinan berasaskan syura, amanah dan kesinambungan. Sejak 1951, PAS hanya bertukar Presiden sebanyak tujuh kali dalam lebih tujuh dekad. Jawatan Presiden pernah dipegang oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan (1951–1953), Dr Burhanuddin al-Helmy (1956–1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969–1982), Ustaz Yusof Rawa (1982–1989), Ustaz Fadzil Noor (1989–2002), dan kini Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (2002–kini). Semua peralihan berlaku dalam suasana teratur melalui keputusan Muktamar atau Majlis Syura, bukan krisis rebut-merebut.
Majlis Syura Ulamak menjadi penjaga dasar, memastikan keputusan besar tidak terpesong. Proses syura di semua peringkat menjadikan pemilihan pucuk pimpinan suatu penyempurnaan keputusan kolektif, bukan medan perebutan.
Keberkesanan pendekatan ini terbukti dalam prestasi: kami mengekalkan pentadbiran Kelantan lebih tiga dekad tanpa henti, menerajui negeri-negeri lain melalui mandat rakyat, serta mencatat rekod sejarah pada PRU15 sebagai parti dengan bilangan kerusi Parlimen terbesar, 49 kerusi dalam blok Perikatan Nasional. Jika benar kami ‘tepu’, prestasi ini tidak mungkin tercapai.
Dari sudut pengaruh sosial, jaringan akar umbi yang kukuh program kebajikan, dakwah dan pendidikan berkembang di bawah kepimpinan yang berterusan. Dukungan generasi muda meningkat ketara; walaupun wajah kepimpinan tertinggi stabil, saluran penyertaan dan peremajaan melalui sayap-sayap parti sentiasa terbuka. Status quo di atas berfungsi sebagai landasan mantap untuk inovasi dasar di bawah. Inilah keseimbangan di antara perkara asas yang tetap dengan ruang pembaharuan yang anjal.
Manifestasi keberpaduan, bukan ketepuan
Dengan sokongan teori dan bukti, ketiadaan pertandingan bagi jawatan tertinggi ialah manifestasi keberpaduan, bukan ketepuan. Kami meletakkan kestabilan jamaah mengatasi ghairah individu. Pengalaman pelbagai parti menunjukkan perebutan jawatan sering melahirkan faksionalisme dan mengganggu tadbir urus; Kami memilih jalan berbeza, meminimumkan politicking dalaman, memaksimumkan tumpuan kepada khidmat rakyat.
Ini selari dengan prinsip Islam: al-Quran memuji mereka yang memutuskan urusan melalui syura; Allah mengingatkan dalam Surah al-Anfal ayat 46:
“وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُم “
“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatanmu.”
Dalam bahasa maqasid, memelihara kesatuan jamaah dan kestabilan organisasi adalah maslahat yang besar.
Solidariti kepimpinan yang kami bentuk bukan tanda kelesuan, tetapi kesepakatan nilai: integrasi bimbingan ulama, kecekapan profesional dan denyut nadi aktivis akar umbi dalam satu saf. Model ini menjadikan PAS contoh politik yang stabil, kukuh dan matang di tengah gelora landskap nasional.
Perbandingan dengan parti lain dan ibrah daripada krisis mereka
Untuk mengukuhkan hujah, wajar diperhatikan kontras dengan parti lain. Ada yang terbelah akibat perebutan jawatan dalaman, termasuk episod sejarah seperti Umno tahun 1987 apabila pertarungan sengit ‘Team A’ dan ‘Team B’ berakhir dengan pengharaman parti dan kelahiran parti serpihan. Sejarah itu menjadi bukti bahawa perebutan kuasa dalaman boleh membawa akibat fatal jangka panjang.
Pengalaman lalu juga membuktikan bahawa pertelingkahan kepimpinan dalaman pernah membawa kepada kehilangan kuasa pemerintahan. Semua ini menjadi pengajaran besar bahawa perpecahan hanya melemahkan, manakala kesatuan adalah kunci kekuatan.
Fenomena sebegini perebutan jawatan, lobi-melobi, tikam belakang ‘cah keting’ sering dianggap lumrah dalam politik parti. Tetapi kesannya amat buruk: parti menjadi lemah, pecah kepada puak-puak, fokus teralih daripada perjuangan rakyat kepada drama dalaman, dan rakyat muak melihatnya. Dalam jangka panjang, parti-parti yang kerap berkrisis dalaman kehilangan sokongan rakyat, sukar mempertahankan legitimasi, malah ada yang tenggelam daripada arus politik utama.
PAS tampil dengan pendekatan berbeza. Dengan mengekalkan kepimpinan tanpa pertandingan, kami selamat dan mampu menghindari perpecahan memalukan. Tiada cerita pemimpin PAS lompat parti kerana kalah jawatan; tiada hiruk pikuk kekacauan terbuka saat kempen pemilihan, tiada menteri PAS letak jawatan kerana tewas dalam pemilihan dalaman. Fokus kami tidak terbuang kepada drama kuasa, sebaliknya terarah menghadapi lawan sebenar di luar parti.
Kesimpulan
Menuduh kami sebagai ‘parti tepu’ mencerminkan kegagalan memahami disiplin organisasi yang kami amalkan. Ketiadaan pertandingan bukan tanda kelemahan, tetapi manifestasi konsensus strategik, konsolidasi kepimpinan yang berakar pada legitimasi kolektif, serta bukti institusionalisasi parti yang mapan selari dengan kerangka siyāsah syar‘iyyah dan disokong oleh teori sains politik moden. Political cohesion kami ialah modal kepimpinan; intra-party democracy kami berbentuk musyawarah yang memelihara maslahat; pilihan kami untuk konsensus institusional berbanding contestasi adversarial adalah tanda kematangan, bukan ketakutan.
PAS ibarat pohon rendang yang akarnya menghunjam dalam satu landasan nilai dan perjuangan yang sama. Daunnya mungkin lama tetapi hijau subur, pucuk mudanya terus tumbuh tanpa merosakkan dahan tua, dan pohon itu memberi teduh kepada masyarakat yang mendambakan kesejahteraan.
Selagi kami kekal berdisiplin dan istiqamah pada nilai-nilai ini, tuduhan ‘tepu’ akan gugur dengan sendirinya. Yang sebenarnya tepu ialah bayang-bayang stereotaip yang tidak serasi dengan fakta. Kami menzahirkan satu model politik berakhlak: kesatuan mengatasi persaingan, maslahat umat mengatasi agenda individu, dan perpaduan dipilih berbanding perpecahan. Dengan prinsip ‘unity above rivalry’, kami menakhodai bahtera perjuangan dengan tenang dan berwibawa, berlayar di samudera cabaran demi maslahat rakyat dan negara.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS PUSAT
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
11 September 2025 – HARAKAHDAILY 11/9/2025











