
IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran untuk segera mewartakan kawasan lombong seluas kira-kira 500 ekar di Sungai Galah, Kampung Gajah sebagai kawasan nelayan darat bagi menjamin kelangsungan hidup lebih 60 nelayan berlesen di kawasan tersebut.
Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) berkata demikian ketika membangkitkan nasib para nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil lombong di kawasan itu.
Beliau berkata, sebarang gangguan terhadap aktiviti perikanan di lombong tersebut akan memberi kesan langsung kepada sekurang-kurangnya 240 isi rumah yang bergantung kepada sumber pendapatan itu.
“Rata-rata di sana saya difahamkan ada 60 nelayan darat yang berlesen. Maknanya, kalau satu keluarga ada empat orang, 240 orang akan terkesan apabila hasil carian ikan mereka terjejas.
“Jadi, kita mengharapkan daripada pihak kerajaan, apakah ada perancangan untuk mewartakan lombong di Sungai Galah ini? Dan kalau ada, bilakah ia akan dilakukan?” soalnya.
Beliau mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Zafarulazhan turut meminta jaminan daripada kerajaan negeri agar lombong-lombong tersebut tidak diganggu oleh mana-mana pihak sekiranya proses pewartaan masih belum dirancang, demi melindungi mata pencarian para nelayan.
“Apakah jaminan daripada kerajaan negeri biar lombong-lombong ini tidak diganggu oleh mana-mana pihak sehingga menjejaskan nasib nelayan-nelayan darat yang mencari punca pendapatan di lombong-lombong berkenaan?” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan masalah rumpai air atau ‘mikropipe’ yang mengganggu aktiviti nelayan untuk menjala ikan dan bertanya sama ada kerajaan menyediakan sebarang peruntukan atau bantuan untuk membersihkan lombong-lombong tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mohd Zolkafly Harun dalam jawapannya menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil kira potensi sumber perikanan darat.
Menurutnya, pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak bersama Pejabat Daerah dan agensi berkaitan sedang dalam proses membuat penilaian menyeluruh dari pelbagai aspek berhubung perkara tersebut.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Perak sentiasa mengambil kira potensi sumber perikanan darat termasuk kolam dan lombong.
“Buat masa ini, Jabatan Perikanan Negeri Perak dan pejabat daerah serta agensi berkaitan sedang membuat penilaian menyeluruh dari pelbagai aspek,” katanya.
Pada soalan asal Zafarulazhan meminta penjelasan berkaitan jumlah keluasan kawasan perikanan yang telah diwartakan di Perak dan perancangan kerajaan negeri untuk memperluas kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/9/2025











