PAS segar dengan khidmat dan perjuangan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dakwaan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang menyifatkan PAS sebagai parti ‘tepu’ adalah satu pandangan longgar serta tidak berpijak di bumi nyata.

- Advertisement -

Realitinya, PAS terus bergerak dengan pelbagai entiti masyarakat yang aktif sama ada di lapangan kebajikan, pendidikan mahupun gerakan mahasiswa.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, Jabatan Amal misalnya bukan sahaja mengurus keselamatan program, bahkan menjadi pasukan hadapan setiap kali bencana melanda rakyat.

“Mereka inilah sukarelawan PAS yang tidak pernah memilih siapa mangsa, sebaliknya membantu sesiapa sahaja yang ditimpa musibah,” katanya.

Beliau berkata ARC (Kelab Permotoran PAS) menjadi wadah anak muda pencinta automotif, JUHAM pula menghimpunkan para peguam bagi membela isu rakyat di medan perundangan, manakala Ameerah dan Briged Muslimat turut menggerakkan lapangan masing-masing.

Menurutnya lagi, dalam sektor pendidikan, PAS telah melahirkan PASTI, SRITI dan SMITI sebagai bukti kejayaan membina institusi sendiri, malah tidak mustahil Pemuda PAS mampu menubuhkan universiti pada masa depan.

“Walaupun kenyataan ini mungkin mengundang sinis musuh politik, ketika mereka masih leka mengecam, PAS sudah melangkah setapak demi setapak,” ujarnya.

Katanya, PAS kini sedang menyiapkan Kompleks PAS Pusat di Putrajaya yang bakal menjadi mercu tanda masa depan organisasi.

Tambah beliau, Siswa PAS dan Siswa Amal terus menggerakkan agenda di kampus, manakala PASRelief menabur bakti hingga ke Palestin, Syria dan lokasi bencana lain.

“Dengan jaringan kerja yang begitu luas, apakah wajar parti yang sebegini hidup dituduh ‘tepu’?” soalnya.

Firdaus turut menegaskan konsep wala’ atau taat yang disentuh Dr Tawfik seolah-olah disalah tafsir, sedangkan dalam organisasi berdisiplin, wala’ adalah asas kekuatan.

“Lawan sifat wala’ ialah khianat. Adakah maksudnya ahli PAS perlu berkhianat agar dilihat tidak ‘tepu’?” katanya lagi.

Tegas beliau, politik bukan sekadar teori akademik kerana percaturannya sering melangkaui kiraan kaku, justeru mereka yang mahu mengulas perlu turun merasai realiti di lapangan.

“PAS bukanlah parti yang tepu, sebaliknya sebuah gerakan yang segar, berdenyut dengan nadi rakyat, membina kekuatan organisasi, berkhidmat untuk umat dan istiqamah dalam perjuangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -