Muktamar PAS dan masa depan Malaysia

- Advertisement -

MUKTAMAR PAS ke 71 yang akan bermula pada 15 September di Negeri Kedah adalah satu momen penting bagi menentukan halatuju dan agenda parti Islam itu di masa depan. Acara tahunan ini juga akan menyaksikan pertandingan bagi memilih Jawatankuasa PAS Pusat yang baru dan natijahnya menzahirkan wajah PAS sebagai parti dominan negara di dekad akan datang.

Pasukan baru ini sudah tentu akan mencipta dasar dan pendekatan yang lebih segar, berupaya untuk bertindak sebagai arkitek bagi melakar semula kanvas politik negara dengan citra yang baru untuk Malaysia Sejahtera.

Rakyat semua telah melihat selepas PRU15 yang lalu, PH atau BN yang berkuasa di Putrajaya selama 3 tahun telah mengalami defisit kepercayaan dan kehilangan sokongan yang agak teruk lantaran gaya kepimpinan PMX serta  gerak tari jamaah menteri yang kurang menyakinkan.

Ditambah pula dengan kegagalan menunaikan manifesto dan janji pilihan raya dengan mengabaikan semua isu rakyat yang dihidangkan sebagai menu utama semasa kempen PRU15. Ianya terbukti hanya janji kosong yang sangat menghancurkan harapan.

- Advertisement -

Terdapat juga faktor kegagalan dasar PH kerana membiarkan sikap kedegilan dan ultra kiasu DAP yang menguasai dan membolot keputusan di Putrajaya dalam banyak isu telah menyemarakkan kebencian penduduk Melayu Islam. 

Meneliti semua senario ini, ironinya PAS perlu segera melenturkan diri dan membentuk barisan selaras dengan aspirasi rakyat terbanyak bagi menyakinkan warga nusa bahawa PAS dan PN adalah pilihan terbaik bagi membuat penyusunan semula hiruk pikuk noda seterusnya mengambil alih kepimpinan negara. Muktamar ini adalah peluang terbuka kepada PAS khususnya lebih 1 ribu perwakilan dari seluruh negara menulis semula sejarah Malaysia bagi PRU16.

Semestinya saf kepimpinan yang dipilih perlu mempunyai kebolehan tinggi dan menyakinkan untuk menyelesaikan masalah semasa rakyat dalam tempoh segera dan serentak itu  mengubati luka rakyat dari onar PH atau BN dalam membentuk Malaysia yang lebih kuat sekurang kurangnya di pentas Asia.

Sudah tentu muktamar kali ini padat dengan perbahasan strategi dan penyusunan yang boleh dilihat sebagai pembentukan barisan mantap untuk menggantikan tampuk kuasa di Putrajaya.

Walaupun telah ada cahaya di hujung terowong, masih banyak perkara yang perlu dibuat untuk meraih sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen terutama di 125 kerusi Melayu Islam seterusnya membentuk kerajaan yang kukuh tanpa ganguan politik. Kepimpinan PAS yang baru nanti harus mengambil kira pergerakan arus bawah secara perlahan bertiup di seluruh negara yang percaya bahawa PAS mampu mengemudi Malaysia dan peluang harus diberikan pada kali ini.

Ada beberapa faktor kritikal yang memerlukan keputusan drastik dan berani oleh saf pimpinan yang baru dalam memastikan halatuju politik terancang ke arah menyakinkan arus sokongan dilaksanakan.

Pengukuhan ulama sebagai murshid ummah

Ulama adalah core competency PAS setelah sekian lama terikat kukuh dalam hati rakyat yang menjaga dasar Islam sebagai tunjang parti.

Elemen ini telah membezakan PAS dengan parti lain dengan adanya fungsi Majlis Syura Ulamak bagi memandu parti secara konsensus mengikut dasar PAS iaitu al-Quran dan Hadith. Perkara ini mesti ditonjolkan secara ilmiah kepada rakyat untuk menjadikan negara mempunyai halatuju yang dipandu hidayah  Allah SWT sebagai satu keperluan ummah menuju akhir zaman.

Manifestasi kukuh dari tradisi ini terbukti dengan konsensus jawatan Presiden terus dipimpin oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi tanpa dicabar.

Pengurusan media dan agenda Islam

PAS perlu ditonjolkan sebagai parti yang mencintai keamanan dan sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam mengurus agenda Islam. Semua saluran media terutama media sosial harus disusun supaya PAS dan Islam terhindar dari stigma aliran ekstrem dalam negara.

Ini termasuk frontliner yang dipilih dari tokoh sederhana yang boleh diterima masyarakat.
Penguasaan bahasa Inggeris semasa komunikasi adalah bonus dalam membentangkan jawapan dalam semua isu ummah. Orang bukan Islam tidak harus terpinggir dalam semua agenda negara dan bebas mengamalkan agama mereka tanpa gangguan.

Adapun begitu, semua ini tidak bermakna PAS perlu mencairkan asas Islam sebagai dasar utama yang menunjangi parti sekian lama.

Pengurusan dan strategi media yang berkesan dalam menangani isu akan mempercepatkan kepercayaan rakyat bahawa PAS adalah parti terbaik yang boleh diletakkan harapan tinggi memikul amanah negara.

Juara dalam mengurus ekonomi negara

Rekod pengurusan Negeri Kedah dan Terengganu telah menunjukkan PAS boleh, malah hebat dalam pengurusan ekonomi. Dasar dan perlaksanaan yang berkesan perlu dihebahkan untuk menyakinkan rakyat bahawa Malaysia bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi yang sudah tentu manfaatnya akan dipulangkan kepada rakyat.

Penonjolan tokoh PAS yang bercakap dengan bahasa ekonomi dan perniagaan perlu dihebahkan kepada media. Negara ini perlu bergerak menjadi negara pro busines dengan segala kemudahan infra dan human capital yang mencukupi.

Penonjolan generasi teknokrat dalam parti

Barisan pimpinan PAS sebahagiannya harus terdiri dari generasi teknokrat muda yang mempunyai keupayaan dalam mengurus negara. Ianya telah wujud di peringkat pertengahan dan perlu dilonjakkan ke pentas negara. Ini semua akan menzahirkan PAS mempunyai cukup tenaga pakar untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Pemimpin negeri yang berwibawa dan berilmu

Pemimpin PAS bagi parti dan kerajaan di peringkat negeri harus berkarisma dan berwibawa dalam memimpin kerajaan. Ianya mesti dipilih dari tokoh national yang mempunyai aura tersendiri dan tidak bergantung kepada sokongan tradisi terhadap PAS. Generasi muda yang bangkit menumbang BN ingin melihat pemimpin yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, berkeupayaan merancang dan melaksana agenda rakyat, berilmu dengan gaya kepimpinan yang mampu untuk membawa negeri dan rakyat ke tahap yang baru.

Ia juga harus digembleng dengan idea segar untuk mengolah apa jua kelebihan aset di negeri tersebut supaya rakyat tidak bosan dengan gaya kepimpinan yang lesu serta amalan politik kuno ketinggalan zaman.

Pemimpin negeri harus mempunyai kualiti mendengar supaya sikap seperti syok sendiri dan sentiasa merasa betul perlu dielakkan dalam mengurus Kerajaan. Paling bahaya jika sikap kesombongan kuasa (power arrogant) mula meresap perlahan menjadikan agenda rakyat bukan lagi fokus denyut nadi pentadbiran.

Pengurusan bakat muda dari bawah

PAS juga harus melabur dan memberi tumpuan kepada pengurusan bakat dari pelbagai disiplin ilmu serta kemahiran bagi menyediakan succession pelan generasi demi generasi supaya rakyat sedar aset kekayaan human capital dalam PAS.

Perkara ini adalah salah satu faktor yang menjadikan PAS menarik di hati rakyat.

PAS akan dilihat dipandu dan dijana dari ilmu yang luas dan kemahiran yang pelbagai bagi meletakkan asas kukuh kepada Malaysia.

Strategi Borneo Pack

Landskap politik Sabah dan Sarawak yang begitu kompleks harus dikaji dan diteliti supaya strategi jangka pendek sederhana dan panjang boleh dilakar selaras dengan halatuju PAS atau PN.

Kerjasama politik dari sudut parti dan kekuatan Kerajaan Negeri SG4 perlu diagendakan bagi mencari kesatuan serta kesamaan aspirasi masa depan rakyat Melayu Islam dan warga Borneo. Sudah tentu ini bukan kerja mudah. Dengan ilmu dan strategi mantap sahaja akan menghasilkan kesepakatan masa depan yang selesa bagi  PAS atau PN serta semua parti Borneo.

Konklusi

Sebahagian pemerhati politik melihat dengan teliti apabila persetujuan untuk tiada pertandingan dalam 5 jawatan teratas sebagai strategi kestabilan dalaman bagi menyusun atur parti untuk menghadapi PRU16. Ada juga gosip politik menyatakan ianya dilihat langkah awal dari strategi senyap untuk menonjolkan tokoh PAS sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Jika ini menjadi kenyataan, seluruh jentera PAS dari atas sampai ke bawah harus bersatu hati demi mencapai cita cita kuasa yang diimpikan. Pemimpin yang dipilih perlu bekerja kuat dengan ilmu dan kebolehan menarik hati rakyat. Kempen bersepadu bersama parti dalam PN digerakkan untuk menoktahkan ketidakstabilan politik sejak 2018 dan menjadi Islam dan umat Melayu kembali menjadi nakhoda politik negara.

Selamat bermuktamar!

IR ARIFFAHMI AB RAHMAN
11 September 2025 – HARAKAHDAILY 11/9/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -