PAS bukan parti ‘tepu’, PAS parti segar dan bersih

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Tuduhan bahawa PAS berada dalam keadaan ‘tepu’ hanya kerana pucuk pimpinan parti tidak berubah untuk satu tempoh, disifatkan sebagai dakwaan dangkal serta lahir daripada kefahaman cetek terhadap struktur dan budaya organisasi parti Islam itu.

- Advertisement -

Pengarah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid menegaskan, PAS mempunyai kelebihan tersendiri berbanding parti lain kerana menggabungkan kepimpinan ulama dan profesional dalam menentukan hala tuju parti.

“Hakikatnya PAS memiliki ramai pemimpin profesional, malah lebih ramai berbanding parti-parti lain. Bezanya, mereka tidak mengejar populariti atau menonjolkan diri semata-mata demi imej peribadi.

“Dalam PAS, ulama dan profesional berganding bahu, berbincang dan membuat keputusan bersama,” jelasnya.

Menurut beliau, PAS bukanlah gelanggang untuk mengejar jawatan, sebaliknya sebuah wadah perjuangan yang mengutamakan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan individu.

Malah, PAS diyakini mempunyai ramai tokoh yang cukup layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Namun katanya, PAS tidak terburu-buru menamakan calon kerana memahami sistem demokrasi berparlimen yang memerlukan keputusan dibuat secara muafakat dalam gabungan parti serta disokong majoriti Ahli Parlimen.

“Rekod kepimpinan PAS tidak terpalit dengan skandal rasuah atau salah guna kuasa berbanding parti-parti lain yang reput dimakan isu salah laku. Integriti inilah yang membuatkan rakyat melihat PAS sebagai alternatif paling kukuh dalam politik negara,” tegasnya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa PAS ketinggalan daripada generasi muda buktinya setiap bulan lebih 3,000 ahli baru menyertai PAS dan sekitar 75 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda.

“Golongan belia sebenarnya semakin dekat dengan PAS bukan menjauhkan diri. Bagaimana mungkin PAS dikatakan menjauh dari generasi muda sedangkan gelombang penyertaan anak muda semakin ramai?” katanya.

Selain peranan politik, PAS juga membina organisasi yang lengkap dan tersusun dari peringkat tabika, sekolah rendah, menengah hingga kolej.

Dalam aspek kebajikan, PAS melalui Jabatan Amal Malaysia serta Khidmat Malaysia sentiasa hadir membantu rakyat ketika bencana.

Di peringkat antarabangsa pula, Yayasan Amal Malaysia (YAM) serta Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) terus aktif menggerakkan misi kemanusiaan global.

Anas Soffy menegaskan bahawa PAS bukanlah parti ‘tepu’ seperti yang cuba digambarkan oleh pihak lawan, sebaliknya parti yang segar, berprinsip, bersih dan semakin mendapat tempat di hati majoriti rakyat.

“Tuduhan bahawa PAS hilang daya tarikan hanyalah propaganda murahan pihak lawan yang semakin ketandusan modal. PAS akan terus kekal sebagai wadah perjuangan Islam dan rakyat yang paling dipercayai di Malaysia.

“Kalau diteliti sebenarnya parti lain yang tepu dan pemimpin mereka terpalit dalam pelbagai salah laku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -