
KOTA BHARU: Program Ride Belia Benci Dadah menjadi medium penting dalam memupuk kesedaran masyarakat khususnya golongan belia mengenai bahaya dadah yang semakin mencengkam negara.
Penolong Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (UBeS) Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi, berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan generasi bebas dadah melalui pendekatan sukan dan aktiviti permotoran.
“Ride Belia Benci Dadah ini memberi peluang kepada anak muda untuk menyatakan pendirian mereka menolak najis dadah. Kami mahu belia Kelantan menjadi contoh dengan memilih gaya hidup sihat serta mengangkat mesej jelas bahawa dadah musuh nombor satu negara,” katanya.
Beliau berkata, program yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 September ini akan menghimpunkan seramai 100 penunggang motosikal yang merentasi sembilan jajahan di negeri ini.
“Konvoi ini akan bermula di Kompleks SUK dan melalui beberapa checkpoint termasuk Rumah Saidina Umar Bachok, Baitul Taubah Pasir Puteh, Masjid Ibrahimi, Dataran Chinta Wangsa Kuala Krai, Gua Musang, Dataran Gua Ikan Dabong, Dataran Ilmu Jeli dan berakhir di kediaman Menteri Besar di Meranti, Pasir Mas,” ujarnya.
Katanya lagi, laluan yang panjang dan melibatkan banyak lokasi itu dipilih bagi memastikan mesej benci dadah dapat disebarkan secara meluas kepada masyarakat.
“Paling penting, program ini memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan, NGO dan masyarakat dalam membanteras dadah,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025











