
IPOH: Suasana hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menjadi sedikit tegang apabila soalan mengenai nasib belia dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dibangkitkan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) tidak dijawab secara lisan.
Soalan tersebut, yang ditujukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Sivanesan Achalingam, ditolak atas alasan teknikal kerana dikatakan tidak mematuhi Perintah Tetap Dewan.
Isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Amin adalah berkaitan persediaan belia Perak untuk menghadapi projek berimpak tinggi seperti Automotive High-Tech Valley (AHTV) dan Silver Valley Technology Park (SVTP).
Soalannya meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan negeri bagi memastikan penyertaan belia dalam industri TVET dan statistik penghijrahan belia Perak ke negeri lain untuk bekerja.
Juga insentif atau skim pembiayaan untuk menggalakkan belia dalam bidang TVET, serta bentuk kerjasama antara kerajaan negeri dan industri dalam merangka kurikulum yang relevan.
Sivanesan memilih untuk tidak menjawab soalan itu secara lisan dengan alasan ia melanggar Perintah Tetap 26(4), yang mengehadkan soalan lisan kepada tiga bahagian.
“Soalan baik, tetapi mengikut saya tidak mematuhi Perintah 26(4),” katanya di dalam dewan, namun Mohamad Amin kemudian bangkit mempertahankan soalannya.
Beliau dengan menegaskan bahawa ia pada asasnya hanya terdiri daripada dua soalan utama, manakala yang lain adalah pecahan untuk mendapatkan jawapan yang lebih terperinci.
“Dalam soalan yang saya hantar, bukannya ada empat soalan. Kalau ikut, dua soalan yang asas. Yang ketiga, yang keempat itu adalah pecahan,” jelasnya sambil memberi jaminan tidak akan mengemukakan soalan tambahan yang menyukarkan.
Walau bagaimanapun, rayuan itu tidak diterima apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choi Tsi Jen, memutuskan agar soalan tersebut dijawab secara bertulis.
“Saya sudah buat kesimpulan tadi. Kalau tak faham perintah tetap, sila baca dulu,” tegasnya dan pada akhir sesi, Mohamad Amin sekali lagi membangkitkan Perintah Tetap 27(3) dan 26(4), menyatakan hak ahli untuk bertanya satu soalan lisan dengan tiga soalan pecahan.
Beliau turut meluahkan rasa terkejut kerana ini adalah kali pertama soalannya ditolak untuk jawapan lisan.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid, kemudian mengesahkan bahawa soalan tersebut akan dijawab secara bertulis. – HARAKAHDAILY 11/9/2025











