RUU Pekerja Gig perlu ditambah baik – Wan Martina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menggesa beberapa penambahbaikan dilaksanakan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan berkenaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, aspek perlindungan sosial dan keselamatan pekerja perlu diberi perhatian khusus memandangkan penghantar makanan dan penunggang e-hailing berdepan risiko kemalangan jalan raya yang tinggi.

“Dalam keadaan mereka bekerja secara sendiri, ramai tidak mencarum dengan skim keselamatan sosial atau perlindungan kesihatan. Saya berpandangan bahawa kewajipan caruman tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pekerja gig.

“Entiti kontrak dan penyedia platform perlu dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan sebahagian caruman kepada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) atau skim perlindungan kesihatan setara.

“Tanpa kewajipan yang jelas, kita bimbang pekerja gig akan terus berada dalam keadaan rentan dan apabila berlaku kecemasan, keluarga mereka pula yang menanggung kesusahan,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Negara, kelmarin.

Wan Martina berkata, keperluan menetapkan kadar pendapatan minimum sektor gig dalam tempoh tertentu juga perlu diberi perhatian serius.

“Saya menghargai peranan Majlis Perundingan yang dicadangkan dalam RUU ini untuk mengemukakan syor kadar pendapatan minimum mengikut sektor.

“Namun saya khuatir, jika pelaksanaannya hanya berbentuk syor tanpa garis masa yang ketat, maka ia akan menjadi lambat dan tidak efektif. Saya mencadangkan agar kerajaan memastikan kadar pendapatan minimum bagi sektor gig dapat ditetapkan dalam tempoh tertentu.

“Sekurang-kurangnya sebagai perlindungan asas untuk mengelakkan eksploitasi, terutama apabila persaingan antara platform semakin sengit dan kuasa tawar-menawar pekerja gig sangat terhad,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penubuhan Tribunal Pekerja Gig dilengkapi saluran digital mesra pengguna dan bantuan guaman asas supaya pekerja di luar bandar tidak terpinggir.

“Penubuhan Tribunal Pekerja Gig adalah satu inovasi yang saya puji kerana ia memberi ruang kepada pekerja gig memperjuangkan hak mereka.

“Namun kita perlu memastikan tribunal ini benar-benar boleh diakses oleh semua pekerja gig termasuk mereka di luar bandar, bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar.

“Saya mengesyorkan agar diwujudkan saluran digital mesra pengguna, mungkin melalui aplikasi mudah alih atau portal khusus, di samping menyediakan khidmat bantuan guaman asas.

“(Ini) supaya pekerja gig tidak terpinggir hanya kerana kekurangan sumber kewangan atau kekangan lokasi,” ujarnya.

Selain itu katanya, penguatkuasaan perlu diperkasa dengan pegawai penguat kuasa yang terlatih dan mempunyai sumber mencukupi bagi memastikan pelaksanaan undang-undang berkesan.

“Laporan berkala kepada Parlimen mengenai tahap pematuhan entiti kontrak perlu diwajibkan supaya wujud mekanisme semak dan imbang yang telus,” katanya. – *HARAKAHDAILY 11/9/2025*

- Advertisement -