Masa depan adalah untuk Islam – TG Ahmad Ali

- Advertisement -

ARAU: Keyakinan terhadap kemenangan Islam tidak pernah luntur walaupun umat berdepan pelbagai cabaran, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ahmad Ali dalam satu temu bual bersama _Harakahdaily_ di kediaman beliau di sini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa setiap pejuang Islam wajib meyakini cita-cita perjuangan dan dalam masa sama memastikan usaha yang dilakukan sentiasa selaras dengan kehendak Allah SWT.

“Kita cita-cita untuk mencapai kemenangan, kita yakin. Tetapi dalam masa yang sama kita usahalah habis-habisan untuk selesaikan masalah supaya selaras dengan kehendak Allah. Kalau kita bantu agama Allah, kita taati Allah, kita bertakwa sungguh-sungguh, Allah Taala akan tolong,” katanya.

Menurut beliau, kemenangan Islam hakikatnya tidak bergantung kepada kekuatan manusia semata-mata, sebaliknya kepada pertolongan Allah SWT.

Mengulas mengenai perjalanan sejarah umat Islam, Tuan Guru menjelaskan bahawa kepimpinan bermula dengan Nubuwwah, kemudian ‘Khilafah Ala Manhaj an-Nubuwwah’, beralih kepada sistem beraja, pemerintahan kuku besi dan akhirnya kembali semula kepada Khilafah.

“Saya menyakini kemenangan untuk Islam, lagipun ada hadis, Nabi SAW kata Allah SWT hantar pimpinan Nubuwah kepada umat manusia semua sejak daripada Nabi Adam lagi, dan berakhir dengan kepimpinan Nabi Muhammad, tu semua tu kepimpinan Nubuwah, kepimpinan, kenabian dan kerasulan.

“Allah angkat kepimpinan Nubuwah dan Allah Taala ganti dengan ‘Al Khilafah Ala Manhaj Nubuwwah’ pengganti Nabi, Khilafah mengikut Manhaj Nabi, Khulafak Ar Rashidin maknanya, hat tu pun Nabi kata Allah Taala angkat, sampai masanya Allah angkat, maka digantikan pulak dengan pimpinan beraja.

“Ulama-ulama kata kepimpinan beraja tu bermula dengan zaman Muawiyah, dialah Sahabat, dialah raja, yang mula-mula dalam sejarah Islam, lepas tu ada sedikit gigitan, bukan kata teruk sedikit saja, kalau kita kata peratus pun 0.01 peratus, yang tu pun Allah angkat dan digantikan dengan kepimpinan-kepimpinan yang berkuku besi.

“Kepimpinan kuku besi pun Allah angkat dan ulama kata sekarang ni zaman permulaan Khilafah, zaman nak balik kepada kepimpinan seperti Saidina Abu Bakar. Memang ada kacau-bilau, tetapi kita kena sabar dan istiqamah. Insya-Allah masa depan adalah untuk Islam,” katanya penuh yakin.

Dalam konteks negara ini, beliau menegaskan perlunya umat Islam bijak menjaga hubungan dengan institusi beraja.

“Raja kita hormat selagi tidak melanggar batas hukum Allah. Kadang-kadang kalau tolak raja, naik pula raja yang lebih buruk. Jadi kita jaga dulu sementara pokok nak besar. Ini soal daulah, soal kedaulatan Islam.

“Jangan pi tendang tu tendang ni, habis la, jangan buat lagu tu, bagi ana bukan kita nak puja lagu mana ni, cerita dia kedaulatan, daulah hat duk sebut, Ustaz (Tan Sri Tuan Guru Abdul) Hadi Awang sebut daulah tu kedaulatan bukan kebangsaan,” jelas beliau.

Tuan Guru Ahmad turut menegaskan bahawa umat Melayu-Islam mesti bersatu dalam politik kerana jumlah dan kedudukan mereka yang dominan menjadi penentu hala tuju negara.

“Nabi kata ‘Al Aimmatu Min Quraisy’. Quraisy yang duk perang lani ni, tapi kenapa Nabi sebut Quraisy? Sebab dominan, di Malaysia dalam percaturan politik, Melayu diletakan harapan, sebab dia ramai. Kalau kita berpecah, orang lain suka.

“Sebenarnya kita tak mahu berpecah, tapi diganggu pihak luar. Saya selalu pesan jangan ubah niat dalam perjuangan. Kemenangan Islam itu keyakinan, tapi untuk sampai ke sana kita kena perbaiki kelemahan,” ujarnya.

Pakar usul fiqh yang pernah berkhidmat di fakulti syariah sebuah universiti di Brunei itu sekali lagi mengulangi keyakinannya bahawa kemenangan Islam pasti berlaku, dan beliau sangat yakin masanya akan tiba.

“Saya duk pesan banyak jangan ubah niat, termasuk dalam jemaah,, jangan ubah niat nak cari kesenangan, jangan macam tu, kita nak kemenangan untuk Islam, yang tu yang penting.

“Apa yang menyebabkan saya yakin, sebab panduan kita benda yang benar, adakah kita berpandu atau tidak itu cerita lain, tapi panduan kita adalah benda benar.

“Saya yakin kemenangan adalah untuk Islam. Walaupun ujian berat, kita istiqamah, kita perbaiki kelemahan, Insya-Allah masa depan adalah milik Islam,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -