Insiden di Kg Sungai Baru gambaran awal RUU URA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada hari ini 11 September berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya memahami bahawa pada 20 Ogos 2025, pemaju memperoleh perintah _ex parte_ mahkamah yang memberi kebenaran memasuki kawasan termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.

“PAS menghormati keputusan tersebut. Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025 amat tidak berperikemanusiaan.

“Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.

Namun menurutnya, penguatkuasaan tetap melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain tindakan agresif pemaju.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keadaan itu sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“PAS menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.

“Simpati turut dirakamkan kepada anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. Pada masa sama, PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas,” tegasnya.

Ahmad Fadhli turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa insiden di Kampung Sungai Baru adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.

“Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU URA yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -