Ketengah isu ketum dan keselamatan makanan import

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Baharuddin Ahmad memberi penekanan kepada isu penyalahgunaan ketum serta kawalan keselamatan makanan yang diimport dari negara jiran dalam perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, semalam.

- Advertisement -

Menurut beliau, berdasarkan penerangan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, sudah tiba masanya Akta Racun dipinda bagi memperkukuh penguatkuasaan.

Statistik dibentangkan jelas menunjukkan situasi yang membimbangkan iaitu sebanyak 4,327 kes pada tahun 2021 melonjak kepada 7,395 kes pada tahun 2024 yang disifatkan Baharuddin menandakan peningkatan drastik dan memerlukan mekanisme undang-undang lebih tegas.

“Pindaan ini dilihat dapat memperkasakan penguatkuasaan sama ada melalui ‘authorized person’ mahupun takrifan baharu ke atas premis yang terlibat. Ia akan memudahkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar akta ini,” tegasnya.

Dalam perbahasan tersebut, Baharuddin turut menyentuh fenomena penyalahgunaan daun ketum yang menurutnya sangat ketara di Perlis di mana kebanyakkan setiap isi rumah di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya seorang terlibat dengan ketagihan air ketum.

“Ketum ini, adakah daun ketum itu sendiri ditakrif dibawah Akta Racun ataupun daun ketum yang diproses menjadi minuman dan juga yang telah di campur dengan pelbagai perisa seperti ubat batuk dan bahan berkarbonat.

“Adakah penanaman pokok ketum itu juga menjadi kesalahan di bawah Akta Racun, dan adakah sekadar minuman itu saja ditakrif sebagai salah di bawah Akta ini,” soal beliau.

Menurut beliau, ramai remaja-remaja yang turut terlibat dalam penyalahgunaan ketum ini dan berharap dengan pindaan ini pihak kementerian dapat mengambil tindakan lebih serius dan berkesan

“Bukan sekadar mengurangkan, tetapi menghapuskan terus penyalahgunaan ketum khususnya dalam kalangan remaja,” katanya penuh tegas.

Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai seorang remaja ketagih ketum yang terpaksa dibawa ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan di mana menjadi resah dan gelisah ketika dirawat, namun kembali tenang selepas diberi minum air ketum oleh keluarganya.

“Inilah kesan ketum yang amat membimbangkan, kerana ia mengikat remaja kita dalam lingkaran ketagihan,” ujarnya turut menegaskan keperluan memperketat penguatkuasaan terhadap sayur-sayuran dan buah-buahan yang diimport dari Thailand.

Katanya, hampir keseluruhan hasil tani yang dipasarkan di Perlis datang dari negara jiran itu, dan ada kebimbangan ia mungkin mengandungi kadar racun berlebihan dan menyalahi undang-undang.

Beliau mempersoalkan sama ada pihak berkuasa sama ada Kementerian Kesihatan mahupun Kementerian Pertanian telah melakukan pengawasan rapi bagi memastikan bahan makanan tersebut selamat untuk dimakan rakyat.

“Saya berharap kementerian dapat mengambil tindakan yang berkesan untuk mengesan dan mengawal kemasukan makanan import ini. Rakyat berhak mendapatkan jaminan keselamatan makanan mereka,” tegasnya lagi.

Senator Baharuddin menegaskan bahawa pindaan Akta Racun ini mesti menjadi landasan yang lebih kukuh bagi pihak berkuasa untuk bertindak.

Baginya, undang-undang yang dipinda haruslah bukan sahaja menjadi pencegah, tetapi juga alat pemusnah terhadap ancaman penyalahgunaan racun, termasuk ketum, dan memastikan keselamatan makanan rakyat sentiasa terjamin.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya akta baharu ini, tindakan yang lebih berkesan, lebih baik, dan lebih mudah dapat diambil demi kepentingan rakyat,” katanya penuh harapan. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -