Harmoni Universiti: Mengimbangi kuasa persatuan dan pentadbiran

- Advertisement -

RINGKASAN Eksekutif

MAAC menzahirkan kebimbangan serius terhadap dakwaan intimidasi, buli dan campur tangan tidak wajar melibatkan warga akademik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Isu ini menyentuh kebebasan akademik, kebebasan bersuara dan hak berpersatuan, di samping amalan tadbir urus universiti awam.

Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menggesa siasatan bebas dan telus, moratorium penuh ke atas tindakan tatatertib yang dipertikai, serta pematuhan tegas kepada Perlembagaan Persekutuan, AUKU 1971, Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605], Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Perlembagaan UTeMASA dan Perlembagaan UTeM.

- Advertisement -

Kenyataan ini dikeluarkan demi kepentingan awam dan tidak bertujuan memfitnah mana-mana pihak. Semua pihak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya menurut undang-undang.

Latar belakang

MAAC menerima maklumat awam dan laporan terbuka bahawa sebahagian pensyarah dan ahli Persatuan Staf Akademik UTeM (UTeMASA) yang menyatakan bantahan terhadap dasar atau pekeliling tertentu berdepan tekanan, termasuk ancaman tindakan tatatertib dan permintaan mendedahkan identiti penandatangan petisyen. Jika benar, keadaan ini menjejaskan budaya ilmu, kebebasan akademik dan ruang wacana yang sihat di kampus.

Kebimbangan utama

1. Dakwaan intimidasi dan buli pentadbiran.

Pensyarah yang mengemukakan pandangan atau menandatangani petisyen dilaporkan berisiko dikenakan tindakan. Keadaan ini mewujudkan suasana takut, menutup ruang maklum balas profesional dan melemahkan akauntabiliti.

2. Campur tangan terhadap persatuan staf akademik (UTeMASA).

Tuntutan mendedahkan senarai ahli atau penandatangan jika berlaku boleh dianggap pencabulan hak berpersatuan, data peribadi persatuan, kerahsian ahli, dan melemahkan fungsi sah persatuan.

3. Keterlibatan pihak luar.

Sebarang permintaan dokumen atau siasatan yang tidak berkaitan secara munasabah dengan salah laku yang sah boleh dianggap intimidasi. Sebarang tindakan mesti berasas undang-undang, relevan dan berkadar.

4. Kesan terhadap ekosistem akademik.

Budaya takut menjejaskan mutu pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan tanggungjawab pensyarah, menjatuhkan reputasi universiti serta menafikan kebajikan profesional pensyarah.

Landasan undang-undang dan prinsip asas

1. Perlembagaan Persekutuan:

Perkara 10(1) (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan tertakluk sekatan undang-undang) dan Perkara 8(1) (kesamarataan di sisi undang-undang).

Amalan kehakiman menekankan ujian berkadar (proportionality) ke atas sebarang sekatan terhadap hak-hak ini.

2. AUKU 1971 dan Perlembagaan UTeM: Universiti ialah medan ilmu, dialog dan kebajikan warga; tatacara mesti adil dan beralasan.

3. Akta 605: Menetapkan tatacara tatatertib yang adil, saksama dan teratur.

4. Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832]:

Hanya Pendaftar Pertubuhan (ROS/PPM) boleh mengarahkan pertubuhan menyerahkan senarai lengkap pegawai dan ahli (s.14(2)(b)) atau memeriksa daftar keahlian (s.27(2)(b)) termasuk senarai penandatangan petisyen bantahan tersebut. Pentadbiran universiti tidak mempunyai kuasa automatik di bawah Akta 832 untuk menuntut daftar ahli atau senarai penandatangan petisyen, kecuali melalui saluran ROS atau jika diperuntukkan dalam perlembagaan pertubuhan dan dipersetujui oleh UTeMASA menurut undang-undang.

5. Kanun Keseksaan (Akta 574) (jika wujud paksaan atau ugutan): Peruntukan seperti s.503 (intimidasi jenayah) boleh terpakai apabila terdapat ugutan bagi memaksa pendedahan yang tidak diwajibkan oleh undang-undang.

Syor penyelesaian

1. Moratorium tatatertib.

Hentikan sepenuhnya semua tindakan berkaitan petisyen sehingga siasatan bebas selesai.

2. Tubuhkan panel siasatan bebas.

Libatkan wakil KPT, tokoh akademik neutral dan pakar undang-undang; nyatakan terma rujukan yang jelas, tempoh masa, dan penerbitan laporan awam.

3. Protokol libat urus mandatori.

Adakan sesi perundingan berkala dan minit rasmi antara pengurusan dan UTeMASA sebelum melaksanakan dasar yang memberi kesan kepada pengajaran, penyelidikan dan beban tugas.

4. Perlindungan pemberi maklumat.

Wujudkan saluran aduan sulit, melindungi pensyarah yang bertindak dengan itikad dan niat baik.

5. Garis panduan penggunaan agensi penguatkuasaan.

Sebarang rujukan kepada agensi hendaklah perlu, relevan dan berkadar, serta berasaskan kuasa undang-undang yang jelas. Elakkan permintaan yang mendedahkan identiti ahli tanpa keperluan sah.

6. Audit pekeliling dan SOP dalaman.

Selaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan, AUKU, Akta 605 dan Akta 832, termasuk klausa perlindungan kebebasan akademik dan data peribadi dan kerahsiaan ahli persatuan.

Seruan MAAC

1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT): Mulakan siasatan bebas dengan segera dan pantau pematuhan universiti terhadap undang-undang serta prinsip keadilan asasi.

2. Pengurusan UTeM: Hormati suara warga akademik; hentikan tindakan yang boleh ditafsir sebagai intimidasi; kembali kepada libat urus beradab dan terbuka.

3. Agensi penguatkuasaan: Utamakan kesepadanan dalam permintaan maklumat; elakkan tindakan yang menjejaskan kebebasan akademik, kebebasan bersuara, tadbir urus universiti, akauntabiliti, hak sah berpersatuan dan kebajikan staf.

4. Ahli Parlimen dan masyarakat sivil: Bawa isu ini ke perbahasan nasional sebagai tanda aras kebebasan akademik dan kualiti demokrasi.

5. Komuniti akademik Malaysia: Tunjukkan solidariti melalui sokongan moral, advokasi berfakta dan perkongsian amalan terbaik.

Penutup

MAAC komited mempertahankan kebebasan akademik, kebebasan bersuara, hak berpersatuan dan tadbir urus baik sebagai asas universiti moden. Universiti mesti kekal sebagai medan ilmu dan pencarian kebenaran, bukan gelanggang tekanan. MAAC berdiri bersama warga akademik UTeM dan menyeru penyelesaian yang adil, telus dan berperaturan demi martabat pendidikan tinggi negara.

Dikeluarkan oleh:

KONGRES PERSATUAN AKADEMIK MALAYSIA (MAAC) – HARAKAHDAILY 12/9/2025


- Advertisement -