
SHANGHAI, China: Kerajaan Negeri Terengganu akan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di Kuala Terengganu dan Kemaman sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan serta agenda bandar pintar negeri.
Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif itu sebahagian daripada pelan pembangunan bandar pintar yang sudah mula dilaksanakan melalui sistem pemantauan berpusat di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kita akan menambah bilangan CCTV di dua bandar utama terlebih dahulu sebelum diperluas ke daerah lain,” katanya selepas mengetuai delegasi negeri menyertai Tomorrow City Shanghai di China dari 2 hingga 4 September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri itu ke acara antarabangsa tersebut yang menghimpunkan pemain industri global bagi membincangkan hala tuju pembangunan bandar pintar.
Menurut Wan Sukairi, banyak elemen bandar pintar boleh disesuaikan di Terengganu berdasarkan faktor lokasi, iklim dan populasi, sekali gus memperkukuh dasar negeri pada masa depan.
“Insya-Allah pengalaman sepanjang menyertai program ini akan diterjemahkan dalam dasar negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, TPr Dr Abu Bakar Mat berkata, penyertaan tersebut turut membuka peluang perbincangan dengan vendor teknologi antarabangsa.
“Selain memperluas kerjasama dengan negara seperti Hong Kong dan Korea. Malah, China turut menunjukkan kesediaan untuk membantu,” ujarnya.
Beliau berkata, selain membincangkan pembangunan bandar pintar, delegasi Terengganu turut mengambil kesempatan memperkenalkan potensi pelancongan negeri.
“Selepas sesi pembentangan, ramai yang berminat mengetahui keindahan Terengganu. Ini juga membantu mempromosikan Smart City Activation Day anjuran PlanMalaysia@Terengganu,” katanya.
PlanMalaysia Terengganu seterusnya akan menganjurkan Smart City Activation Day 2025 pada 14 Oktober ini di Duyong Convention Centre, Kuala Terengganu, sebagai platform membincangkan strategi pembangunan bandar pintar negeri. – HARAKAHDAILY 8/9/2025




















