
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mengecam keras tindakan menarik balik jemputan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu, untuk merasmikan sebuah karnival Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasannya baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas penganjur mendapat tekanan daripada pihak tertentu dalam parti pemerintah negeri.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti jelas budaya politik buli yang masih berleluasa dilakukan oleh pemerintahan Umno dan Pakatan Harapan (PH) Pahang.
“Kejadian ini jelas menunjukkan budaya politik buli yang terus diamalkan oleh Umno dan PH Pahang. Sikap sebegini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan kuasa, malah menafikan hak wakil rakyat untuk bersama masyarakat yang memilih mereka.
“Kami, Pemuda PAS Pahang, ingin mengingatkan Umno dan PH agar jangan terlalu sombong dengan kuasa yang sedang dipegang. Ingatlah, budaya politik kebencian dan buli tidak akan bertahan lama.
“Yakinlah, dengan tekad dan kerja buat yang telah serta sedang diterjemahkan oleh PAS dan PN Pahang, Misi Teraju Pahang insya-Allah akan direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Pahang, terutama anak muda, menolak budaya politik yang disifatkannya sebagai lapuk dan tidak beradab.
“Kami menyeru rakyat Pahang, khususnya anak muda, untuk menolak budaya politik sempit ini. Ayuh bersama PAS dan PN membina sebuah Negeri Pahang yang lebih harmoni, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2025











