RUU Perolehan 2025 cenderung kepada pemusatan kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Musoddak Ahmad menegaskan negara sememangnya memerlukan kerangka perolehan yang jitu dan jelas sebagai usaha membendung rasuah dan salah laku kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perlu disedari bahawa lubuk-lubuk rasuah dan salah laku ini tertumpu daripada perolehan awam, sebagaimana didedahkan dalam dokumen Pelan Anti Rasuah Nasional.

Dokumen itu katanya, mendedahkan bahawa sektor perolehan merupakan sektor yang cenderung kepada jenayah rasuah dan salah laku.

“Tiga bidang yang dikategorikan sebagai paling berisiko untuk berlakunya rasuah ketika ini adalah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam serta perolehan awam,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga bidang yang berisiko kepada rasuah dan salah laku itu menjadi faktor pertikaian terhadap peruntukan kertas biru kerana RUU ini menyentuh kaitan tadbir urus politik, pentadbiran terhadap perolehan awam dan sektor awam.

“Maka ketiga-tiga bidang berisiko kepada rasuah yang dinyatakan dalam pelan anti rasuah nasional dalam kertas RUU ini kita menyentuh suatu aspek yang sangat sensitif. Saya tidak pasti mengapa kementerian nampak agak tergesa-gesa juga untuk meluluskan RUU ini,” soalnya.

Beliau berkata, kronologi di Dewan Rakyat juga menampakkan ada usaha yang terdesak untuk meneruskan RUU berkenaan.

“Kita tidak menafikan daripada sudut kepentingannya. Cuma peruntukan dalam perincian fasal-fasal yang dinyatakan dalam RUU ini sangat terdedah kepada pemusatan kuasa yang boleh mendorong kepada kronisme, naungan politik dan sebagainya,” kupasnya.

Musoddak turut membangkitkan persoalan mengapa RUU berkenaan tidak dibawa ke Jawatankuasa Khas untuk diteliti dan diperbaiki peruntukan sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Kalau dibentangkan dalam jawatankuasa khas agar kita dapat menilai sesuatu RUU terlebih dahulu. 12 Ogos kertas putih diserahkan oleh Jabatan Peguam Negara, bacaan kali pertama 25 Ogos kemudian bacaan kali kedua dan ketiga 27 Ogos 2025.

“Bukankah kita sepatutnya memanjangkan tempoh perbahasan kertas RUU ini untuk diteliti sekurang-kurangnya pada tahun hadapan.

“Bukankah sepatutnya kerajaan juga cuba merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti dengan lebih mendalam kerangka RUU ini,” soalnya lagi.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak sesekali mempersoalkan kewujudan kerangka perolehan melalui kertas RUU berkenaan, namun mempertikai pemusatan kuasa yang berlebihan dan cenderung membawa kepada salah laku dan rasuah.

“Saya bacakan sebahagian daripada isi RUU yang memberi kuasa yang begitu luas kepada menteri. Fasal 2(2), Fasal 12(8), Fasal 28(2), Fasal 63(2). Semua ini fasal-fasal yang boleh kita bincang dan kita pertikaikan.

“Ini sebahagian daripada peruntukan yang memberikan kuasa yang berlebihan kepada seseorang individu.

“Saya tidak pasti mengapa peruntukan ini tidak diteliti dengan mendalam kerana implikasinya cukup besar kepada kerangka perundangan negara berkaitan perolehan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Musoddak berharap RUU berkenaan diperbaiki terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Saya rasa RUU ini kalau boleh diperbaiki kita baikilah dahulu. Kalau boleh sidang Dewan Negara ini untuk meminda, kita pindalah dulu apa yang terbaik kita buat untuk kemaslahatan kita bersama.

“Saya tidaklah nak menyokong dan saya nak harapkan kepada ahli Dewan Negara pun bangkit isu ini supaya kita bukan nak menolak tapi bincang lagi terlebih dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -