Bina pembangunan yang seimbang, rakyat miliki rumah

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis menegaskan komitmennya memastikan agenda pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya turut menitik beratkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik, berkualiti dan selesa didiami.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata demikian ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) serta Pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030, di Dewan 2020, di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyerahan surat tawaran Rumah Mesra Rakyat 2025 oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada penerima terpilih.

Langkah ini jelas beliau, membuktikan bahawa kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada aspek kebajikan rakyat selain merangka dasar pembangunan makro untuk jangka panjang.

“Agenda pembangunan kita bukan sahaja berorientasikan projek berimpak tinggi, malah melibatkan penyediaan rumah berdaya huni, selesa dan mampu milik untuk rakyat. Ini bukti jelas bahawa kebajikan rakyat tetap menjadi teras utama dalam perancangan negeri,” katanya.

Menurut Mohd Shukri, RSN 2040 dirangka dengan dasar dan cadangan projek yang komprehensif bagi memperkukuh pembangunan negeri dengan berasaskan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, perancangan ini mencerminkan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perlis lebih berdaya huni serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita mahu pembangunan ini memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan hanya di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar agar tiada yang tercicir,” tambahnya.

Menteri Besar turut menegaskan pentingnya kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi teknikal bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar pembangunan negeri.

Beliau menekankan bahawa dokumen RSN ini adalah hasil usaha bersama, justeru pandangan daripada rakyat dan pihak berkepentingan amat dialu-alukan.

“Program publisiti ini akan melibatkan semua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui pemasangan banner, streamer serta akses kod QR bagi orang ramai melihat draf RSN 2040 dan mengemukakan bantahan atau cadangan,” ujarnya.

Selain RSN 2040, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030, yang bertujuan mempercepatkan transformasi digital dalam pentadbiran bandar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui teknologi pintar dan mesra alam. – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -