Pendukung PAS galas amanah besar pertahan Kerajaan Islam

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Setiap pendukung PAS berdepan amanah besar untuk memastikan kelangsungan kerajaan Islam di Kelantan demi generasi seterusnya.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, lebih 35 tahun PAS diberi mandat rakyat Kelantan sehingga kini.

Beliau menegaskan semua pendukung perlu bermuhasabah, memperkemas gerak kerja serta menguatkan kesatuan dan fikrah sebagai anggota gerakan Islam.

“Konvensyen kali ini amat signifikan kerana kita akan menyambut 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun pentadbiran “Membangun Bersama Islam”.

“Tujuh dekad perjalanan PAS Kelantan penuh dengan suka duka perjuangan sejak kemenangan sulung 1959, kekalahan 1978 hingga kebangkitan gemilang pada 1990,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PAS Kelantan di PUTIK kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Speaker DUN Kelantan Dato’ Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah serta Setiausaha PAS Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Ustaz Ahmad menambah, selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam berdepan ujian perpecahan dan perebutan kuasa.

Menurutnya, zaman Abbasiyah menyaksikan khalifah kehilangan kuasa akibat perebutan wilayah, dominasi tentera upahan dan konflik mazhab sehingga melemahkan Baghdad.

Keadaan itu katanya, membuka laluan kepada serangan Monggol pada 1258 dan kemuncaknya kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada 1924.

“Barat meniup semangat nasionalisme sempit, memecahkan tanah Arab dengan perjanjian Sykes-Picot 1916 serta menghidupkan projek Zionis menerusi Deklarasi Balfour 1917.

“Realitinya kini, perang saudara di Syria, Yaman, Iraq serta ‘perang proksi’ mazhab mengulangi pola lama, musuh luar mengapi-apikan perpecahan, manakala umat Islam dilaga-lagakan dengan perbezaan fikrah,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS menegaskan PAS Kelantan kekal istiqamah menyokong perjuangan Palestin.

Katanya, ia adalah sebahagian tanggungjawab umat Islam mempertahan maruah dan kedaulatan saudara seakidah selain memperjuangkan kemanusiaan sejagat.

Selain itu katanya, PAS mendidik rakyat melalui kesedaran kewajipan agama, politik kebajikan, bantuan kemanusiaan dan diplomasi rakyat.

“Namun geopolitik hari ini tidak hanya berlaku di Asia Barat. Di rantau kita, Indonesia sedang menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat menuntut keadilan sosial dan politik.

“Situasi ini jelas memberi isyarat bahawa kestabilan politik serantau boleh memberi kesan kepada kita.

“Selagi umat bersatu, musuh tidak mudah menembusi. Justeru PAS Kelantan mengutamakan ukhuwah dan ta’awun serta mengurus khilaf dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tambahnya.

Beliau menegaskan mempertahan kerajaan Kelantan berteraskan dasar “Membangun Bersama Islam” selepas 35 tahun bukan sekadar isu politik, sebaliknya kewajipan agama dan umat Islam.

Sementara itu, Wan Roslan berkata Konvensyen PAS Kelantan 2025 menjadi wadah penting memperkukuh hala tuju perjuangan Islam di negeri itu.

Jelasnya, program tersebut berjaya menghimpunkan kepimpinan, perwakilan serta ahli parti untuk membincangkan agenda besar bagi kelangsungan dakwah dan pembangunan negeri.

“Konvensyen ini turut memberi tumpuan kepada isu kebajikan rakyat, dasar pentadbiran kerajaan serta strategi menguatkan perpaduan ummah.

“Hasil cadangan dan perbincangan akan menjadi asas memperkasa gerak kerja parti dan pentadbiran negeri agar kekal di landasan Islam,” katanya.

Konvensyen tersebut juga memperlihatkan semangat ukhuwah yang teguh dalam kalangan ahli dan perwakilan. – HARAKAHDAILY 8/9/2025

- Advertisement -