
KOTA BHARU: Majlis Perundingan Wanita Negeri (MPWN) dan Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) perlu menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
Majlis Perundingan Wanita Negeri telah ditubuhkan pada tahun 2012 yang kini telah memasuki ulang tahun ke-13, manakala MPWP pula mula dibentuk pada tahun 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim menegaskan, kerajaan negeri tetap istiqamah bergerak selari dengan tuntutan Islam.
“Perjalanan lebih satu dekad ini pastilah penuh suka duka dengan 1001 pengalaman yang sangat berharga.
“Kelantan sekali lagi menjadi negeri yang menerajui penubuhan Majlis Perundingan Wanita yang tersusun dan konsisten di seluruh negeri,” ujarnya mengimbas pelbagai tohmahan, sindiran, fitnah dan penindasan kecil atau besar dilalui sepanjang 35 tahun kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Watikah Lantikan Majlis Perundingan Wanita Kelantan Sidang Ke-7 Bagi Tahun 2023-2025 di sebuah hotel di sini.
Menurut beliau, semua ahli MPWN dan MPWP di seluruh negeri perlu benar-benar menjadi ejen penyebar maklumat tepat bagi menghebahkan usaha kerajaan negeri.
Selain itu katanya, ahli MPW di setiap penjuru negeri juga mesti menjadi tempat rujukan utama rakyat untuk menyampaikan permasalahan agar dapat disantuni dengan sewajarnya.
“MPW mestilah bertindak secara profesional sebagai pasukan semak imbang kepada kerajaan. Pandangan dan teguran membina daripada pihak ketiga amatlah perlu serta berimpak besar bagi mencapai hasil terbaik,” jelasnya.
Rohani yakin dengan penglibatan pelbagai latar belakang profesion, ilmu, kemahiran, kepakaran dan pengalaman, platform MPW menjadi medan terbaik untuk wanita menyumbang kepada negeri dan negara.
“Di sinilah peluang memanfaatkan segala potensi untuk maslahah ummah. Masyarakat kita perlu lebih ramai orang yang baik dan berbuat baik sebagai sistem sokongan sosial kepada setiap anggota masyarakat,” katanya.
Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes sosial yang membimbangkan khususnya dalam institusi kekeluargaan akibat tekanan ekonomi, kelemahan iman dan pengaruh negatif media sosial.
“Maka, kita mesti menjadi satu golongan yang sentiasa berjuang untuk menjadi orang yang baik, sekali gus membina masyarakat yang baik sebagai harapan kepada masyarakat kita hari ini,” tegas beliau.
Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Ikvira Mohd Dasuki dalam ucapannya turut menyentuh mengenai amanah pelantikan itu.
Beliau berkata, pelantikan ini bukan sekadar simbolik tetapi satu amanah besar untuk memastikan suara wanita terus diberi perhatian dalam arus pembangunan negeri.
“Wanita bukan sahaja tulang belakang keluarga, malah tiang seri negara. Setiap usaha kita akan diperhitungkan di sisi Allah,” ujarnya.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu, pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah MPWN termasuk Skim Cakna Hawa kepada 10,000 penerima.
Juga Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara pada 2024 melibatkan 450 orang yang dinaikkan kepada RM1,000 setiap penerima pada tahun 2025 serta program pemerkasaan wanita.
Watikah Lantikan ini dianggotai oleh 36 orang MPW peringkat negeri dan 442 orang wanita peringkat Parlimen. – HARAKAHDAILY 5/9/2025





















