
KOTA BHARU: Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat Bunga Mas Kelantan buat pertama kali apabila ia dipertontonkan kepada umum sempena Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan di Istana Balai Besar di sini dari 1 hingga 14 September ini.
Festival anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.
Juga Majlis Kraf Malaysia di mana ia bertujuan memberi peluang masyarakat menyaksikan artifak bersejarah lambang diplomasi dan kedaulatan negeri dalam sejarah Alam Melayu.
Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Dr Mohamed Safaruddin Ismail berkata festival berkenaan bukan sahaja mengetengahkan Bunga Mas bahkan turut mempamerkan kehalusan seni tekstil Melayu serta pelbagai khazanah warisan negeri.
“Penganjuran ini membuka ruang kepada pengunjung termasuk dari luar negara untuk melihat keindahan tekstil Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara.
“Ia juga menjadi wadah memperkenalkan generasi muda kepada warisan negeri seperti keris, barangan tembaga, pertukangan emas dan seni tradisional lain,” katanya.
Kelmarin diadakan perarakan bergajah dengan penuh gilang-gemilang bagi menzahirkan kepada masyarakat umum tentang sejarah dan khazanah Kelantan yang amat bernilai itu.
Perarakan berkenaan diketuai Mohamed Safaruddin bermula berhampiran Sungai Kelantan dan berakhir di Istana Balai Besar.
Selain pameran dari jam 9 pagi hingga 10 malam, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung pembuatan kain telepuk, setangan getam budu, menenun songket, menghasilkan kain kelingkan, jebak puyuh serta ukiran emas dan perak.
“Dalam tempoh dua hari pertama sahaja, lebih 600 pengunjung hadir, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu. Kami percaya kehadiran akan terus meningkat kerana tarikan utama kali ini ialah Bunga Mas yang dipamerkan buat pertama kalinya,” ujarnya.
Beliau berharap festival itu dapat menanam penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan seni dan budaya Melayu, di samping memperkukuh jati diri masyarakat dengan nilai sejarah yang tidak ternilai. – HARAKAHDAILY 5/9/2025












