Menteri Besar seru rebut peluang industri halal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Para usahawan di negeri ini diseru supaya merebut peluang dalam pasaran halal yang semakin terbuka luas di peringkat domestik dan antarabangsa.

- Advertisement -

Menteri Besar berkata, langkah ini penting bagi memastikan Kelantan tidak ketinggalan sekali gus mampu memperkukuhkan pasaran halal domestik hingga menembusi pasaran antarabangsa.

“Industri halal kini bukan lagi sektor kecil bahkan Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju halal dunia hasil daripada sistem pensijilan yang diyakini serta komitmen tinggi kerajaan dan masyarakat.

“Pasaran halal ini sudah terbuka luas, tidak hanya kepada pengguna Muslim sahaja. Rebutlah peluang yang ada ini untuk memperkukuhkan pasaran halal domestik seterusnya sehingga mampu menembusi pasaran halal antarabangsa,” katanya.

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini.

Nassuruddin berkata Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri kerana masyarakatnya menitikberatkan soal halal, jaringan usahawan kecil dan sederhana yang dinamik serta kekuatan pendidikan Islam yang kukuh.

“Kesedaran dan keupayaan rakyat yang dibina melalui dasar “Membangun Bersama Islam” perlu digembleng sebaiknya agar syariat Islam terus difahami dan diamalkan dalam kehidupan.

“Inilah aset dan modal sosial negeri yang menjadi titik tolak pembangunan industri halal,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) termasuk mewajibkan sijil halal bagi.

Jelasnya ia dilaksanakan ke atas premis tertentu ketika pembaharuan lesen perniagaan, memperluas pensijilan kepada industri kotej serta membimbing usahawan menaik taraf perniagaan dengan pensijilan yang diyakini.

Nassuruddin menambah, penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan yang diluluskan pada 12 Mac 2025 menjadi wadah utama menyelaras, memantau dan menggerakkan agenda halal negeri agar lebih tersusun dan inklusif.

“Melalui penubuhan majlis ini, saya optimis ekosistem dan ekonomi berlandaskan syariah dapat diperkasakan dan dicapai secara bersama untuk mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri menyambut baik Dasar Halal Negara 2025-2035 yang membawa visi memperkasakan Malaysia sebagai peneraju halal global.

“Kelantan yang ditadbir dengan pelan strategik “Penghayatan Membangun Bersama Islam” amat terbuka dalam mengembangkan industri halal ditambah dengan semangat keusahawanan rakyat negeri ini yang terkenal gigih serta berani mencuba dalam perniagaan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan besar agar semua pihak termasuk agensi, institusi pendidikan dan pemain industri dapat berganding bahu memperluaskan produk halal negeri ini sekali gus meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa.

“Semua pihak perlu memainkan peranan menyebarluaskan maklumat agar pengguna lebih mengetahui tentang peri pentingnya pensijilan halal dalam produk harian,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Mohd Daud pula berkata majlis berkenaan menjadi sebahagian daripada sekretariat di bawah Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

“Kita mahu majlis ini menyelaraskan dasar pembangunan industri halal negeri dengan Halal Industry Master Plan 2030, menjadi platform perbincangan isu serta mencadangkan strategi penyelesaian terhadap segala cabaran yang ada.

“Cabaran besar ini akan merangkumi sektor makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan perkhidmatan. Kita mahu ekosistem halal yang tersusun, bersepadu dan saling melengkapi demi menjamin kelestarian ekonomi negeri dan negara,” ujarnya lagi.

Asri berkata Malaysia kekal mendahului dunia dalam perdagangan halal dengan nilai eksport berjumlah RM61.79 bilion pada tahun lalu, meningkat berbanding 2023, dan kejayaan ini adalah hasil koordinasi antara JAKIM, kementerian serta kerajaan negeri.

“Taman Industri Halal di Pasir Mas dilengkapi infrastruktur asas yang mampu menyokong kewujudan ekosistem halal negeri, sekali gus menarik pelaburan baharu, mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan infrastruktur,” ujarnya.

Satu seminar turut diadakan pada hari ini menyediakan platform perkongsian ilmu, penyelidikan, dan peluang pelaburan berkaitan ekonomi Islam serta industri halal kepada lebih 300 peserta.

Peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, swasta, IPTA, IPTS, usahawan, pemain industri, serta wakil komuniti. – HARAKAHDAILY 5/9/2025

- Advertisement -