
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menunaikan solat hajat secara serentak pada hari ini, selepas solat Isyak, sama ada di masjid, surau ataupun di kediaman masing-masing.
Ketua Pemuda PAS Malaysia menyeru demikian bagi memohon pertolongan Allah SWT agar urusan anggota Flotilla Malaysia dipermudahkan dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan di Gaza serta dikurniakan keselamatan sehingga kembali ke tanah air.
Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, doa juga dipanjatkan agar bantuan makanan dan ubat-ubatan yang dibawa oleh sukarelawan berjaya menembusi sekatan dan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza.
“(Marilah kita memohon kepada Allah SWT agar) umat Islam di Palestin terus dikurniakan ketabahan, kekuatan iman dan kemenangan dalam perjuangan mempertahankan tanah air mereka.
“Marilah kita bersatu hati demi membebaskan Al-Aqsa yang tercinta. Sesungguhnya doa adalah senjata mukmin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu kenyataan.
Terdahulu, misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan media tempatan menghimpunkan sukarelawan dari lebih 44 negara, menjadikannya armada pelayaran awam terbesar menuju Gaza setakat ini.
Perjalanan bermula dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti kumpulan kedua ke Catania, Itali, dan kumpulan ketiga ke Tunisia masing-masing pada 31 Ogos serta 4 September.
Malaysia turut menyertai dengan menghantar sekitar 15 sukarelawan setiap kumpulan, melibatkan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kemanusiaan.- HARAKAHDAILY 5/9/2025











