
BESUT: Kerajaan Negeri Terengganu memberi amaran tegas kepada semua pengusaha resort di Pulau Perhentian yang tidak mempunyai lesen penjualan arak bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemeriksaan mendapati pengusaha resort gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
“Perbuatan mereka itu berada dalam keadaan yang tidak direstui oleh kerajaan negeri. Jika ada penguatkuasaan, mereka akan dikenakan tindakan.
“Saya ingin pastikan pengusaha Melayu menjaga adat orang Islam dan dinasihatkan supaya menjaga adat Timur. Bagi yang bukan
Islam, diharap bersopan dan tidak minum di tepi pantai secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dive Against Debris (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan; Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor dan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Razali yang juga ADUN Kijal berkata, usaha kerajaan negeri bukan sekadar menegakkan peraturan, malah memastikan aktiviti pelancongan di pulau itu selari dengan nilai tempatan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Jika pelancong datang hanya untuk mabuk, ia bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri. Kita mahu Pulau Perhentian dikenali sebagai destinasi bersih, selamat dan kondusif untuk semua,” katanya. – *HARAKAHDAILY 5/9/2025*











