125 pemilik tanah TOL bakal terima geran – MB Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 125 pemilik tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Perlis diluluskan geran hak milik dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, di Kompleks Seri Putra, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menurut beliau, kelulusan itu melibatkan lima hingga enam mukim di negeri ini dan pemilik diingatkan supaya segera menjelaskan bayaran premium agar geran hak milik sah dapat dikeluarkan.

“Hari ni kita luluskan tanah TOL bagi geran untuk 125 orang, itu yang kita buat, cuma kita harap kepada pemilik-pemilik tanah TOL yang kita bagi geran ni kena bayar premium supaya dapat memiliki geran yang sah ke atas tanah mereka.

“Yang ni yang kita harap sangatlah sebab yang kita bagi sebelum ini mereka ada sebahagiannya gagal membayar premium, jadi tanah itu akan balik jadi tanah TOL, itu rugi sangatlah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Beliau turut menegaskan, kelewatan membayar premium sebelum ini menyebabkan kerajaan terpaksa membincangkan perkara yang sama berulang kali dalam mesyuarat Exco, sekali gus melibatkan masa dan proses panjang.

“Kita harap tolong bayarlah supaya kita boleh tutup fail, tak kena kerja banyak kali. Kena mesyuarat semula, Mesyuarat EXCO kena buat lagi, lulus benda yang sama itu satu perkara yang merugikan,” katanya lagi.

Menurut beliau, semua bakal penerima geran tanah yang diluluskan dalam mesyuarat itu adalah terdiri daripada golongan petani.

Dalam pada itu, Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga diterima oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Bantuan Sara Negeri Perlis memang YB-YB kita dah ambik bantuan itu dan agihkan kepada rakyat yang memerlukan seperti ibu tunggal, golongan B40, memang kita sarankan macam itu.

“Semua YB-YB walaupun dia dapat RM100 tapi dia sumbangkan balik kepada rakyat yang memerlukan dan yang ini kita dah putus awal sebelum ini,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 5/9/2025

- Advertisement -