Perundangan tanpa pelaksanaan telus hanya ‘tin kosong’

Hendri Hamsah
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pemuda PAS Sabah menyatakan sokongan terhadap cadangan penggubalan ‘Zara Law’, iaitu undang-undang khusus berkaitan kes buli, namun menegaskan bahawa langkah tersebut tidak boleh sekadar menjadi retorik politik tanpa ada tindakan yang nyata.

- Advertisement -

Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, undang-undang yang digubal tanpa pelaksanaan yang telus dan berkesan hanyalah ‘tin kosong’, yang tidak memberi sebarang impak kepada masyarakat.

“Lebih penting daripada sekadar menggubal adalah aspek penguatkuasaan yang telus, mekanisme pemantauan yang jelas serta pelaksanaan yang adil dan tidak selektif,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Sabah, kelmarin.

Menurutnya, cadangan itu dilihat selari dengan saranan awal daripada Pemuda PAS Malaysia yang telah sekian lama mendesak agar langkah serius diambil bagi menangani gejala buli yang semakin membimbangkan di negara ini.

Tegasnya, keselamatan anak muda, khususnya pelajar sekolah, mesti diangkat sebagai keutamaan utama.

Menurutnya lagi, mereka adalah generasi pewaris masa depan negeri Sabah dan negara.

“Melindungi mereka daripada ancaman buli adalah tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2025

- Advertisement -