
PAS LABUAN sekali lagi menyatakan pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk hiburan yang mengetengahkan unsur LGBTQ kepada tatapan masyarakat umum, khususnya kepada masyarakat Islam di wilayah ini. Hal ini kerana PAS Labuan mengambil maklum akan kehadiran pelawak kontroversi, Kumarsutra dalam satu program ‘Stand Up Comedy’ yang bakal berlangsung pada Oktober ini.
Bertepatan dengan Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar bertarikh 28 Mei 2025 menerusi pautan yang menyatakan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu normalisasi budaya songsang. [1] Beliau juga menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat kita daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara.
Kehadiran pelawak kontroversi ini bukanlah yang pertama kali di Labuan bahkan ia adalah satu program jelajah yang melibatkan beberapa buah negeri di Malaysia. Sebelum ini, PAS Labuan pernah membantah kehadiran pelawak ini ke Labuan pada tahun 2023 dengan mengusahakan beberapa perjumpaan dan penyerahan memorandum kepada beberapa badan berwajib dengan tujuan memberi kesedaran dan membuka mata masyarakat Labuan. Malangnya, acara itu tetap diteruskan dengan mengehadkan tontonan khusus kepada masyarakat bukan Islam sahaja.
Penganjuran program yang sama buat kali kedua ini menunjukkan bahawa ada pihak yang masih berusaha untuk membawa semula pelawak kontroversi ini ke pentas hiburan tempatan. Hal ini secara tidak sedar akan menormalisasikan penerimaan masyarakat tempatan terhadap golongan songsang seperti ini. Sebagaimana pengakuan pelawak ini sendiri bila ditanya dan dilaporkan di sebuah portal media LGBTQ menerusi pautan, “But now (being) gay is not an issue, because people make fun of other issues.” [2]
Dengan adanya hebahan dan promosi giat penganjuran program ini dalam media sosial menunjukkan bahawa pihak penganjur telahpun mendapat kelulusan awal daripada pihak berwajib. Kelulusan ini sangat jelas bertentangan dengan kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Lebih mendukacitakan lagi, terdapat institusi Islam berwajib yang terlibat sama dalam mesyuarat peringkat awal bagi proses perancangan dan kelulusan penganjuran program oleh Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) berkenaan.
PAS Labuan memandang serius isu penganjuran program hiburan melibatkan artis antarabangsa yang secara terbuka menyokong agenda LGBTQ, yang jelas bertentangan dengan Dasar Negara dan norma masyarakat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai Islam serta adat ketimuran.
PAS Labuan juga melihat bahawa terdapat kelalaian serta kesilapan yang serius oleh pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi lain yang terlibat, kerana telah meluluskan kemasukan pelawak tersebut ke Malaysia.
Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mengiktiraf LGBTQ seharusnya konsisten dalam pelaksanaan dasar dan pendiriannya. Penganjuran program hiburan yang mempromosi nilai bertentangan dengan dasar negara boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat serta memberi kesan buruk kepada moral generasi muda.
Oleh itu, PAS Labuan menggesa agar kerajaan lebih peka dan tegas dalam menilai kelulusan sebarang bentuk hiburan yang berpotensi mencabar nilai agama, budaya dan moral rakyat Malaysia. Segala bentuk penganjuran yang boleh mempromosikan agenda songsang perlu ditolak dan disekat dari awal lagi.
Kesedaran demi kesedaran akan terus PAS Labuan sampaikan kepada masyarakat Labuan khususnya agar menolak sebarang agenda dan pemikiran LGBTQ bertapak di Labuan kerana hal ini jelas melanggar perintah Allah SWT dan tidak ada satu pun agama yang mengiktiraf LGBTQ serta budaya ini melanggar tatasusila, adab dan budaya masyarakat setempat malah boleh dikategorikan pihak penganjur dan Kementerian yang terbabit tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat.
PAS Labuan turut menyeru kepada semua agensi agama, pihak berkuasa tempatan, aktivis Islam dan bukan Islam serta NGO untuk mengambil peranan dan turut bersama membantah serta menyampaikan mesej tentang keburukan membiarkan perkara ini berterusan khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Jangan Perlekeh Suara Rakyat”
HAJI HAMIR ZAHARI
Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan – HARAKAHDAILY 5/9/2025
Rujukan:
[1] https://www.facebook.com/share/p/17T2RwV9XE/?mibextid=wwXIfr











