
1459 TAHUN yang lalu, Malaikat Jibril AS mendatangi Rasulullah dan berkata, “Iqra’” (Bacalah) dan Nabi Muhammad SAW menjawab, “Aku tidak pandai membaca.” Kemudian Malaikat itu memelukku sehingga Aku keletihan, kemudian dia melepaskan Aku dan berkata, “Bacalah.” Baginda menjawab, “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril memelukku buat kali kedua sehingga Aku tidak berupaya. Kemudia dia melepaskan Aku dan berkata, “Bacalah.” Maka sekali lagi Aku berkata, “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril memelukku buat kali ketiga kemudian melepaskanku dan membaca firman Allah SWT:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ أَقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, la mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-Alaq: 1-5)
Selepas itu, Nabi SAW turun dari Gua Hira’ menuju ke rumahnya dalam keadaan khuatir dan ketakutan. Sesampai di rumahnya, Beliau berkata kepada isteri tercintanya, “selimuti aku selimuti aku”
Isteri tercintanya, Khadijah RA, menyelimuti suaminya dengan penuh kasih sayang dan inilah contoh peribadi luar biasa seorang isteri yang solehah. Dia tidak bertanya mengenai apa yang terjadi tetapi dia hanya memikirkan apa harus dilakukannya agar suaminya tenang. Setelah tenang baru Rasulullah SAW bercerita kepadanya apa yang terjadi tanpa diminta-minta untuk diceritakan.
Nabi SAW menceritakan yang Beliau takut kerana yang datang itu makhluk yang kasar dan bimbang terjadi apa-apa kepadanya. Maka Khadijah RA berkata, “Sekali-kali tidak usah khuatir. Demi Tuhan, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya. Sesungguhnya kamu adalah seorang yang menyambung hubungan kekeluargaan, bercakap yang benar, membantu anak yatim, memuliakan dan menjamu tetamu dan menolong orang yang menderita dalam membela kebenaran dan kesusahan.” (Riwayat Bukhari no3 dan Muslim no160)
Kemudian Allah SWT mengilhamkan Khadijah agar membawa Baginda menemui bapa saudaranya, iaitu saudara lelaki kepada ayahnya, Waraqah bin Naufal. Seorang yang beragama Nasrani ketika jahiliyyah dan pernah menyalin Kitab Injil ke dalam Bahasa Ibrani, beliau sudah tua dan buta.
Sesampai di rumah Waraqah, Khadijah RA tidak menyuruh suaminya menceritakan apa yang berlaku. Di sini kita nampak betapa mulia akhlak atau adap seorang isteri kepada suaminya tetapi Khadijah mengatakan kepada Warakah, “Wahai pakcik, dengarlah apa yang ingin diperkatakan oleh anak saudaramu ini,” Maka Warakah berkata, “Wahai anak saudaraku, apakah yang telah kamu lihat.”
Maka mulailah Nabi menceritakan apa yang telah berlaku. Dari sinilah berlakunya awal cerita hijrah. Setelah Nabi bercerita mengenai kejadian yang dialaminya, Waraqah berkata, “Itu adalah Malaikat Jibril yang telah mendatangi Nabi Musa.” Maka ucapan ini telah membuat Nabi bergembira tetapi tidak selang berapa lama Waraqah berkata lagi, ”Andaikata aku masih muda, kuat dan hidup ketika mana kaummu mengusirmu nescaya aku akan membelamu, menyelamatkan mu, menolongmu sehabis dayaku.”
Apa kata Nabi bila mendengar ungkapan Waraqah, “Apakah kaumku akan mengusirku?” Maka Waraqah berkata, ”Ya, tidak ada seorang pun orang membawa risalah saperti ini, melainkan dia akan ‘dimusuhi’.” Tidak lama selepas itu Warakah meninggal dunia dan wahyu terhenti buat sementara waktu. (Riwayat Bukhari no 3)
Tolong ambil perhatian akan kalimat di atas teruntuk untuk semua pejuang kebenaran hingga akhir zaman.
Semua dakwah yang dibawa Nabi SAW ke tengah masyarakat yang tidak mahu menerimanya, tentunya akan dimusuhi dan ditolak. Oleh kerana itu Rasulullah SAW memulai dakwahnya selama tiga tahun secara sembunyi-sembunyi. Baginda SAW pertama-tamanya menyampaikan Islam kepada orang yang paling rapat dengan Baginda, seperti ahli keluarga dan rakan-rakannya. Mereka ini tidak pernah meragui kebenaran kata-kata Baginda, kemuliaan jiwa dan kehebatan Beliau. Maka tidak hairanlah kalau mereka segera menyokong dan mengikut Baginda.
Di antara orang yang pertama beriman dengan Baginda ialah isteri tercinta Beliau, Khadijah RA, anak angkat Baginda, Zaid bin harithah, Ali bin Abi Talib, dan sahabat rapat Baginda, Abu Bakar al-Siddiq RA.
Kemudian Abu Bakar aktif berdakwah kepada Islam dan berjaya mengislamkan orang yang dipercayai dan dikasihinya, seperti Uthman bin ‘Affan, Talhah bin Ubaidillah dan Sa’ad bin Abi Waqqas. Selain itu, al-Zubair bin al-Awwam, Abu Dzar al-Ghifari, ‘Umar bin ‘Anbasah dan Sa’id bin al-As turut memeluk Islam. Kemudian Islam tersebar di Makkah di kalangan orang-orang yang hati mereka telah diterangkan oleh Allah SWT dengan cahaya hidayah-Nya.
Setelah tiga tahun sembunyi-sembunyi, mulailah Nabi SAW berdakwah terang-terangan, atas perintah daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr: 94)
“Berikan peringatan serta amaran kepada kerabat-kerabat dekatmu.” (Asy-Syu’ara: 214)
Dan Nabi SAW melakukannya. Apa yang terjadi? Di awal dakwah Beliau tiada ancaman dari masyarakat di waktu itu, kerana pada pandangan orang musyrikin dakwahnya ini, seperti dakwah orang-orang sebelumnya, di mana sebelum ini pernah ada orang-orang mengajak kepada tauhid, tetapi kemudian dakwah mereka hilang begitu sahaja.
Tetapi apa yang mereka lihat dari dakwah Nabi SAW, hari demi hari semakin ramai yang mengikuti Nabi SAW. Maka mulailah mereka menyakiti khususnya orang-orang yang masuk Islam dari kalangan orang-orang yang lemah seperti, golongan hamba dan mereka yang tidak memiliki kabilah di kota Makkah yang akan melindungi mereka. Kafir musyrikin melakukan pelbagai cara dan usaha untuk menghalang dakwah Nabi SAW.
Antara golongan lemah yang diseksa adalah ‘Ammar bin Yasir. Beliau termasuk daripada orang-orang yang awal memeluk Islam. Beliau adalah bekas hamba kepada Bani Makhzum. Ibu dan bapanya telah memeluk Islam. Orang-orang musyrik mengheret mereka ke tengah-tengah padang pasir ketika tanahnya panas membakar. Mereka diseksa di situ dengan kepanasan padang pasir. Ketika sedang diseksa itu, Rasulullah SAW lalu di situ dan terlihat mereka sekeluarga. Lantas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sabariah wahai keluarga Yasir. Kerana sesungguhnya tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah Syurga.” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5646). Riwayat ini dinilai sahih berdasarkan Sahih al-Sirah (hlm. 154) dan Hasan Sahih dalam Figh al-Sirah (hlm. 103))
Yasir RA mati semasa diseksa. Isterinya, Sumayyah pula melemparkan kata-kata kesat kepada Abu Jahal. Lalu Abu Jahal menikam kemaluannya dengan sebilah lembing di tangannya. Maka Sumayyah meninggal dunia. Beliau ialah wanita pertama yang syahid dalam sejarah Islam. Dan anaknya, Ammar terus diseksa dengan lebih teruk.
Bilal bin Rabah RA di seksa oleh tuannya, Umayyah bin Khalaf dengan membaringkannya di atas batu dan belakangnya di atas padang pasir yang panas membakar pada waktu tengah hari ketika matahari panas terik. Tetapi seksaan ini tidak memalingkannya dari agamanya.
Setelah orang-orang Quraisy semakin ganas menyeksa orang-orang Islam yang lemah, salah seorang daripada golongan yang lemah ini, iaitu Khabbab bin Al- Arat telah pergi menemui Rasulullah SAW untuk meminta bantuan. Khabbab berkata: “kami telah mengadu kepada Rasululah SAW ketika Baginda sedang berbaring dengan berbantalkan sehelai kain di bawah bayang Kaabah. Kami berkata, “Tidak mahukah Tuan meminta pertolongan Allah untuk kami? Tidak mahukah Tuan berdoa untuk kami?” Lalu Baginda menenangkan para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud, “Sesungguhnya di kalangan umat sebelum kamu, ada yang ditangkap, lalu digali lubang untuknya. Kemudian dia dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawa sebilah gergaji lalu diletak di atas kepalanya, lalu badannya dibelah dua. Ada yang disikat dengan sikat besi sehingga tanggal daging daripada tulangnya. Namun, itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi Allah, urusan agama ini akan disempurnakan oleh Allah SWT, sehingga seseorang penunggang dapat bermusafir dari San’a ke Hadramaut dalam keadaan tidak takut kecuali kepada Allah dan serigala yang dibimbangi akan memakan kambingnya. Tetapi kamu semua gopoh.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6943)
Ketika jumlah kaum Muslimin semakin bertambah ramai dan orang kafir mula merasa takut, maka mereka semakin meningkatkan gangguan terhadap Baginda SAW, serta melakukan pelbagai seksaan terhadap pengikutnya. Justeru, dalam keadaan demikian, Baginda SAW telah mengizinkan kepada para pengikutnya untuk berhijrah ke Habasyah.
Baginda bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya di sana terdapat raja yang manusia tidak dizalimi di bawah pemerintahannya.” (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/112)
Hijrah ke Habasyah dilakukan secara senyap-senyap agar tidak diketahui oleh orang-orang Quraisy, lalu mereka menghalangnya.
Ketika usaha dakwah Nabi SAW makin meluas, kaum Quraisy telah menghantar wakil mereka beberapa kali untuk datang berjumpa dengan Abu Talib dan meminta beliau untuk menyekat dan menghalang usaha dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Namun Abu Talib tetap menolak permintaan mereka. Beliau juga tidak rela membiarkan Baginda tanpa pertolongannya. Beliau pun mengutus seseorang kepada Rasulullah SAW. Kemudian Abu Talib memberitahu Baginda apa yang dikatakan oleh orang-orang Quraisy. Abu Talib juga berkata, “Kasihanlah kepada dirimu dan juga kepadaku. Janganlah bebankan aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku tanggung.”
Lalu Rasulullah SAW menyangka bapa saudaranya telah berubah fikiran, akan membiarkannya dan tidak sanggup menolongnya lagi. Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud, “Wahai bapa saudaraku. Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, dengan syarat aku meninggalkan urusan agama ini, maka aku tidak akan meninggalkan urusan ini sehingga la dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya.”
Kemudian Rasulullah SAW menangis dan bangun untuk beredar. Lalu Abu Talib memanggilnya. Baginda pun berpaling kepadanya. Abu Talib berkata, “Pergilah wahai anak saudaraku. Cakaplah apa sahaja yang kamu suka. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan engkau kepada mereka buat selama-lamanya.”
Penghujung tahun ke-6 kenabian, bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah masuk Islam dan 3 hari selepas itu, Islam pula Umar bin al-Khattab. Maka bertambah kukuhlah kekuatan umat Islam lagi. Kadang-kadang Allah SWT beri hidayah dalam keadaan luar biasa. Hamzah masuk Islam awalnya kerana keegoannya, apabila anak saudaranya dihina tetapi selepas Islamnya, beliau memang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul. Umar pula, Islam masuk ke hatinya bertahap-tahap. Ketika dia pergi ke Kaabah, dia terlihat Nabi SAW sedang solat dan membaca surah al-Haqqah. Dia sangat taajub dengan susunan bahasanya. Dan inilah benih-benih awal Islam masuk ke hatinya.
Tahun ke-7 kenabian, dilakukan pemulauan ke atas Bani Hasyim dan Bani Muttalib selama tiga tahun. Bulan Rejab, tahun ke-10 kenabian, Abu Talib meninggal dunia dan bulan Ramadan tahun ke-10 kenabian, Nabi SAW kehilangan sosok tubuh yang paling hebat dan yang paling dicintai dalam hidup Beliau, isteri Beliau Saidatina Khadijah RA. Khadijah dan Nabi saling mencintai, memahami dan menyayangi Nabi SAW sepenuh hati. Khadijah RA sangat penting dalam dakwah Rasulullah SAW, membantu Nabi dengan hartanya.
Setelah meninggalnya Abu Talib yang menjadi pembela Rasulullah SAW, juga meninggalnya Khadijah RA, mulai orang-orang musyirikin bebas menyakiti Nabi SAW secara terbuka dengan cara yang tidak sanggup dilakukannya semasa Abu Talib hidup dan mereka berani membuat fitnah dan tipu daya terhadap Rasulullah SAW sesukanya:
“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.” (Al-anfal ayat 30)
Rasulullah tidak pernah putus asa walau pelbagai ujian yang terpaksa Baginda hadapi. Pada bulan Syawal tahun ke-10 kenabian, Beliau keluar berdakwah ke Taif Bersama anak angkatnya, Zaid bin harithah. Dakwahnya tidak diterima oleh masyarakat Taif malah Nabi SAW dilempari dengan batu dan maki hamun, berdarah tumit Beliau. Nabi SAW balik semula ke Kota Makkah setelah dapat jaminan perlindungan daripada Mu’am bin Adi.
Pada musim haji tahun ke-11, Rasulullah SAW keluar menemui kabilah-kabilah pada waktu malam. Beliau bertemu dengan enam orang dari kalangan kabilan khazraj dari Madinah di Aqabah yang terletak di Mina. Mereka sedang mencukur rambut dan Nabi SAW mendakwahi mereka. Mereka masuk Islam, hanya 6 orang. Beliau tidak meremehkan jumlah itu. Musim haji tahun hadapannya, datang 12 orang lelaki menemui Rasulullah SAW di Aqabah di Mina yang dikenali juga sebagai Bai’ah Aqabah pertama.
Kemudian Nabi SAW mengutus Mus’ab bin Umair ke Madinah untuk mengajar Islam di sana. Musim haji tahun ke-13 kenabian, terjadi Bai’ah Aqabah ke-2. Lebih kurang 70 orang muslim dari penduduk Madinah datang menunaikan haji dan menemui Nabi SAW dan berbai’ah dengan Nabi SAW.
Maka Ketika telah bersedia, sebahagian para sahabat hijrah ke kota Madinah terlebih dahulu. Bagaimana dengan Rasul SAW? Beliau belum hijrah. Beliau menunggu perintah daripada Allah SWT.
Subhanalllah, tatkala sahabat-sahabat Nabi SAW sudah ramai hijrah, orang-orang kafir Quraisy ketakutan. Mereka berfikir apa yang harus dilakukan terhadap Muhammad SAW. Akhirnya mereka berkonspirasi memikirkan cara yang paling tepat. Mereka berhimpun di Dar al-Nadwah untuk merancang bagi membunuh Nabi SAW. Dalam kumpulan itu, ada seorang tua yang ingin bergabung sama dengan berkata, “Musuhmu musuhku.” Siapa dia? dia iblis yang menyamar sebagai seorang lelaki tua dari najd.
Di antara pendapat mereka:
Bagaimana kalau dipenjarakan sahaja. Dan mereka berkata, kalau dipenjarakan akan datang sahabat-sahabat dia mengeluarkannya.
Bagaimana kalau diusir? Kalian tidak tahu betapa manisnya ucapan Beliau dan orang-orangnya akan ikut dia dan akan Kembali ke Makkah ini menentang kalian. Lalu Abu Jahal mengatakan, “Bagaimana kalau kita kumpulkan dari setiapa kabilah seorang pemuda dari kabilah bani makhzum, dan dari bani-bani yang ada. Mengumpulkan mereka semua dan memukul Muhammad dengan sekali pukulan.”
Kalau bani Hasyim menuntut siapa yang membunuh, katakan, “Semuanya yang membunuh sehingga Bani hasyim tidak akan berani memerangi semua kabilah yang ada.” Mereka akan reda dengan membayar denda sahaja. kata iblis yang hadir, “Pendapat ini sangat bagus.”
Dan akhirnya dilaksanakan rancangan mereka. Pemuda-pemuda itu diberi pedang dan disuruh menunggu nabi keluar dari rumahnya. Dan Nabi memerintahkan Ali tidur diatas katil dan Nabi telah berjanji dengan sahabatnya, Abu Bakar untuk hijrah. Ceritanya Panjang.
Ketika Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Beliau membaca ayat awal dari surah Yassin, ayat 1 hingga 9 dengan melemparkan debu dan semua pemuda itu tidak melihat Rasulullah SAW. Nabi keluar dan semua pemuda tersebut tidur dengan nyenyaknya sehingga dikejutkan oleh iblis. Bagaimana kalian boleh tidur lalu mereka menjenguk ke dalam rumah Nabi dan mendapati Nabi masih tidur sedangkan yang tidur itu Ali RA.
Kalau ingin berbicara mengenai hijrah, hijrah ini menunjukkan bahawa keimanan, keyakinan itu lebih mahal dari segala-galanya. Lebih mahal dari tanah, dari negeri, bangsa dan negara juga dari semua harta yang dimiliki. Buktinya mereka meninggalkan Kota Makkah, kota yang sangat mereka cintai. Di samping itu semua rumahnya, kekayaannya, pekerjaannya, keluarganya ditinggalkan.
Ketika Rasulullah keluar dari Kota Makkah, Beliau berbicara ke Kota Makkah, “Wallahi, Demi Allah engkau (Makkah) adalah bumi Allah yang paling baik dan engkau adalah bumi yang paling dicintai Allah SWT. Andaikata aku bukan diusir darimu, maka aku tidak akan meninggalkanmu.”
(Hadis Riwayat At-Tirmizi 3629)
Mereka terpaksa keluar demi menyelamatkan aqidah mereka. Demi mereka dapat beribadah dengan tenang, Mereka ingin solat di masjid, mereka ingin berkumpul menegakkan nilai-nilai Islam tetapi mereka tidak boleh melakukannya di Makkah. Sedangkan sekarang, di zaman kita di akhir zaman ini, semua orang bebas beribadah tetapi masih ramai yang tidak melaksanakan ibadah atau perintah Allah SWT dengan sempurna. Kenapa? Sedangkan di awal kebangkitan Islam dahulu, umat Islam bersembunyi-sembunyi melakukan ibadah dan mereka sanggup diseksa dan berhijrah ke Madinah demi untuk bebas melaksanakan perintah Allah SWT.
Peristiwa hijrah Nabi SAW, ada riwayat yang mengatakan Beliau keluar dari rumahnya pada malam 27 safar tahun ke-14 kenabian menuju ke rumah Abu bakar. Kemudian Beliau keluar dari Makkah dan bersembunyi di Gua Thur selama tiga malam. Pada malam isnin, bulan Rabiulawwal tahun 1 Hijrah, Baginda berangkat ke Madinah. Bersama mereka juga Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan yang pada masa itu, bukan seorang islam.
Allah SWT mampu untuk memindahkan Nabi dari Kota Makkah terus ke Kota Madinah dengan Buraq tetapi Allah SWT ingin memberikan pelajaran kepada kita, bahawa kehormatan dan kemuliaan itu, diraih dengan perjuangan dan pengorbanan. Ketika Nabi menyampaikan hasrat kepada Abu Bakar, Beliau mahu hijrah bersama Abu Bakar. Abu Bakar berkata, “Aku telah menyediakan 2 ekor unta yang aku telah beri dia makanan yang baik-baik sehingga jadi kuat unta tersebut, seekor untuk Nabi SAW.” Nabi jawab, “Aku mahu tapi bayar.”
Kenapa? Kerana Nabi mahu pahala hijrahnya penuh, Beliau dapat bersama bekalan dan pengangkutan Beliau sendiri. Beliau bersembunyi di Gua Thur. Gua Thur ini bukan seperti gua-gua lain yang pintunya di depan tetapi Gua Thur pintunya di bawah. Di Kota Makkah telah di sebarkan berita sesiapa dapat membawa Nabi SAW mati atau hidup akan dapat 100 ekor unta. Dan pencari jejak Nabi sudah sampai ke depan pintu gua. Al-Bukhari meriwayatkan hadis Anas RA daripada Abu Bakar RA katanya, “Aku bersama Rasulullah SAW di dalam gua. Apabila aku mengangkat kepala, nampaklah olehku kaki-kaki kaum Quraisy. Lalu aku berkata, ‘Wahai Nabi Allah, kalaulah sebahagian mereka menundukkan pandangannya nescaya dia akan melihat kita.’ Jawab Rasulullah SAW, “Diamlah wahai Abu Bakar. Sungguhpun kita berdua tetapi Allah yang ketiga.” Dalam lafaz lain menyebutkan, “Bukan seperti sangkaanmu wahai, Abu Bakar, bahawa hanya ada kita berdua sahaja tetapi Allah yang ketiganya.”
Allah SWT Maha Kuasa atas segala sesuatu, tugas seorang hamba cuma melaksanakan perintah-Nya dan selebihnya itu kerja Allah SWT. Serahkan segala-galanya kepada-Nya. Nabi menjalankan semua yang diperintahkan, sebab, itulah yang diperintahkan Allah SWT.
Allah ceritakan semuanya ini dalam surah At Taubah ayat 40
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Subhanallah. Allah SWT yang menolong, jadi dalam kehidupan kita jalankanlah semua kewajiban kita dan selebihnya serahkan kepada Allah SWT. Setelah tiga hari bermaalm di dalam gua, seperti cerita ashabul kahfi juga bermalam di gua. Beliau manusia yang paling dicintai Allah SWT. Setelah tidur tiga hari tiga malam, datanglah Abdullah bin Uraiqid, seorang kafir yang diupah sebagai penunjuk jalan. Dia seorang professional yang berbayar.
Perjalanan ini Panjang. Banyak kisah berlaku di sepanjang perjalanan. Dikejar oleh kaum musyrikin, dikejar oleh Syurakah bin Malik, diikuti oleh seorang penunggang kuda yang ingin menangkapnya dengan pulangan lumayan, singgah di kemah Ummu Ma’bad.
Nabi singgah di kemah Ummu Ma’bad dan bertanya ada minuman. Jawabnya, tidak ada sebab sekarang musim kering dan tinggal kambing-kambing tua yang sudah kering susunya. Nabi minta izin untuk memerahnya. Ummu Ma’bad memerhatikan apa yang dilakukan Rasulullah SAW. Dilihatnya susu kambing itu membengkak dengan susu.
Setelah minum, Rasulullah SAW berlalu dan meninggalkan lebihan susu. Ketika balik suaminya kehairanan ada susu di kambing yang sudah kekeringan susu. Suaminya minta diceritakan wajah orang itu. Setelah diceritakan, Abu Ma’bad berkata, “Demi Allah, inilah lelaki Quraisy yang sering mereka perbualkan halnya. Aku ingin sangat menemaninya. Kalau ada peluang pasti aku akan melakukannya.” Dan akhirnya mereka masuk Islam. Lalu hijrah ke Madinah dan menjadi muslim dan muslimat yang taat hingga akhir hayatnya.
Sesampainya di kota Madinah. Sejak permulaan berita hijrahnya Nabi SAW. Penduduk Madinah telah mengagak bila akan sampainya Rasulullah SAW. Mereka menunggu Nabi setiap pagi kerana musafir selalunya jalan malam, bila matahari tegak mereka pulang ke rumah masing-masing. Masa berlalu sehingga pada hari isnin, daripada bulan Rabiulawwal. Ada seorang yahudi melihat dari atas bukit kecil di al-Harrah, ada bayangan orang datang. Dia terus menjerit, “Wahai sekelian orang arab, orang yang kamu tunggu sudah datang.” Semuanya bergegas keluar menemui Rasulullah SAW.
Mereka sangat gembira dengan kedatangan Nabi SAW. Kaum Ansar belum pernah melihat Rasulullah SAW. Madinah jadi terang benderang dengan kegembiraan penduduknya. Jadi, hijrah ini merubah wajah dunia. Dunia berubah dengan penurunan al Quran dan hijrahmya Rasulullah SAW. Selama 13 tahun al Quran diturunkan di Makkah, tetapi Islam tidak subur di Makkah sehinggalah hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, ternyata di sinilah berkembangnya Islam. Jadi ini bukti bahawa Islam ini tidak tersebar oleh pedang.
Penduduk Madinah tidak dipaksa memeluk Islam tetapi mereka membuka tangan mereka selebar-lebarnya menyambut Rasulullah SAW dan bukan dengan pedang tetapi dengan penuh rasa bahagia dan gembira. Inilah Islam yang datang ke bumi Madinah dengan cahaya terang yang menyinari hati dan bumi Madinah, yang akhirnya Islam balik ke kota Makkah selepas penawanan kota Makkah pada 7 Ramadan tahun ke-8 Hijrah.
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.” (Ali-Imran: 19)
Apakah tindakan yang dilakukan oleh Nabi SAW?
Beliau bina Masjid Quba’ yang merupakan masjid yang pertama didirikan dalam Islam. Masjid bukan untuk mendirikan solat sahaja tetapi sebagai Pusat Islam. Masjid ini yang didirikan atas dasat taqwa agar umat Islm bersatu padu. Beliau menetap di Quba’ selama 14 hari sebelum bergerak ke Kota Madinah. Rasulullah memasuki Kota Madinah selepas selesai solat jumaat. Ini adalah solat pertama umat Islam.
Sesampai di Kota Madinah, Rasulullah SAW membina masjid al-Nabawi Bersama para sahabat Ansar dan Muhajirin. Pembinaan Masjid ini bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat perjumpaan umat Islam, politik umat Islam, pembelajaran dan penyebaran maklumat dan ajaran agama Islam.
Setelah tiba di Madinah, Rasulullah SAW tidak menunggu lama untuk membina sebuah masyarakat Islam yang kuat dan Bersatu. Nabi SAW segera mempersaudarakan orang-orang Muhajirin, yang tak punyai harta, tempat tinggal dan saudara mara di sana dengan kaum Ansar, penduduk asal Madinah, agar mereka saling mencintai, saling tolong menolong dan memastikan kelangsungan hidup umat Islam atas dasar persaudaraan yang dapat membasmi amalan dan fahaman kepuakan jahiliyyah. Antaranya, Abdul Rahman bin Auf yang kaya raya dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’ yang juga kaya raya. Orang Ansar tahu yang kaum Muhajirin sudah mengorbankan dunia mereka demi Iman mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Tidak ada ukhuwah melainkan atas dasar landasan Islam.
Ini menunjukkan kaum Ansar sangat mengutamakan kaum Muhajirin, di sudut sikap pengorbanan mereka, mengutamakan orang lain, berkasih saying dan kejernihan hati mereka. Dan orang-orang Muhajirin pula tidak ambil kesempatan dengan berpeluk tubuh atas kebaikan kaum Ansar ini.
Rasulullah SAW membentuk piagam Madinah atau perlembagaan Madinah. Perlembagaan ini merupakan satu perjanjian yang dapat membasmi segala onak duri dan noda jahiliyyah serta sentimen kepuakan dan Baginda tidak membenarkan lansung ruang untuk meresapnya budaya jahiliyyah dalam Negara Islam yang baru di bina.
Beliau membuat perjanjian dengan orang-orang Yahudi dan juga penduduk Madinah kerana bukan semua penduduk Madinah itu Islam sebagaimana yang terdapat dalam Piagam Madinah. Nabi datang berhijrah dengan visi, misi dan strategi yang mantap.
Penutup
Diakhiri artikel ini dengan ucapan sulung Nabi SAW bila tiba di Kota Madinah. Rasulullah SAW menyebut mengenai pentingnya menjaga hubungan dengan Allah SWT dan menjaga hubungan sesama manusia.
Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Salam RA, katanya yang bermaksud: “Apabila Rasulullah SAW datang ke Madinah, orang ramal menyambut kedatangannya dan dikatakan: “Rasulullah SAW telah tiba, Rasulullah SAW telah tiba, sebanyak tiga kali. Kemudian aku keluar di antara orang ramai yang keluar itu bagi melihat (wajah Baginda). Ketika aku melihat wajahnya aku mengetahui bahawa wajahnya itu bukanlah wajah seorang pendusta. Ucapan pertama sekali yang aku dengar Baginda ucapkan ialah Baginda bersabda: ‘Wahai sekelian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), sambungkanlah silaturrahim, dirikanlah solat di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Riwayat Ibn Majah (3251))
Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 5/9/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











