Sokongan padu terhadap Misi Sumud Flotilla

Untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza

- Advertisement -

SAYA merakamkan sokongan penuh terhadap pelayaran Misi Sumud Flotilla yang mula digerakkan bermula hari ini dari Sepanyol dan Tunisia sebagai satu kempen antarabangsa untuk memecah kepungan zalim Israel terhadap bumi Gaza yang telah berlarutan lebih 17 tahun.

- Advertisement -

Misi ini adalah usaha murni dan bersejarah oleh aktivis antarabangsa daripada pelbagai latar belakang, yang membawa mesej kemanusiaan sejagat bagi membebaskan rakyat Palestin daripada belenggu kezaliman, penjajahan dan kebuluran akibat sekatan haram rejim Zionis.

Sehingga Ogos 2025, menurut laporan PBB dan badan antarabangsa:
• Lebih 40,000 rakyat Palestin gugur syahid sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
• Hampir 2 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat kehancuran infrastruktur dan serangan berterusan.
• Paling membimbangkan, lebih 500,000 orang kini berdepan kebuluran teruk, dengan hampir separuh kanak-kanak Gaza mengalami kekurangan zat makanan serius akibat kepungan Israel yang menyekat bantuan kemanusiaan.

Dalam konteks ini, saya merakamkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh penganjur serta pasukan teknikal yang menjayakan Misi Sumud Flotilla. Keberanian mereka adalah bukti bahawa masyarakat sivil global tetap teguh mempertahankan hak Palestin walaupun dunia antarabangsa sering gagal bertindak tegas terhadap Israel.

Malaysia berbangga dengan keberanian para aktivis yang menyertai misi ini, termasuk 15 orang warganegara Malaysia yang berada di atas kapal. Kehadiran mereka mencerminkan tekad rakyat Malaysia yang konsisten berdiri teguh bersama perjuangan Palestin di semua peringkat – rakyat, NGO, dan Parlimen.

Saya menyeru semua ketua kerajaan di seluruh dunia untuk memberikan dokongan padu kepada usaha sebegini, termasuk melalui tekanan diplomatik, sokongan politik, bantuan kemanusiaan tanpa syarat, dan desakan agar Israel menghentikan kepungan tidak berperikemanusiaan ini. Hanya dengan solidariti global yang konsisten, kezaliman Israel dapat dihentikan dan Palestin dapat menuju ke arah kemerdekaan yang sebenar.

Kami mendoakan agar seluruh aktivis yang terlibat dikurniakan keselamatan, kejayaan, dan keberkatan oleh Allah SWT dalam pelayaran ini. Semoga misi ini akan menjadi pencetus kepada tekanan lebih besar masyarakat antarabangsa terhadap Israel, serta membuka jalan kepada Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.

“Palestin Merdeka adalah tanggungjawab bersama umat manusia.”

Sekian.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
Ahli Jawatankuasa Kaukus Palestin Parlimen Malaysia
4 September 2025 – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -