RM1.55 juta perkasa institusi pendidikan Islam di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah meneruskan komitmennya dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam dengan menyalurkan Bantuan Operasi berjumlah RM1,555,000 bagi tahun 2025.

- Advertisement -

​Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, inisiatif diperkenalkan sejak 2021 itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan institusi pendidikan, khususnya dalam menampung kos operasi harian dan pembayaran bil utiliti.

​Menurutnya, cabaran pendanaan merupakan isu utama yang dihadapi oleh institusi-institusi ini, justeru bantuan berterusan daripada kerajaan negeri amat penting bagi memastikan kelangsungan mereka.

​“Tunjang utama dalam menggerakkan segala operasi Institusi Pendidikan Islam sangat berkait rapat dengan kewangan. Inisiatif ini adalah bukti kepedulian dan amanah daripada Kerajaan Negeri.

“Juga pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk meringankan beban dan kos perbelanjaan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Negeri itu.

Beliau berucap di Majlis Agihan Wakalah Zakat dan Pemberian Bantuan Operasi Negeri Kedah di Dewan Insaniah, Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), di sini semalam.

​Mengulas lanjut, ujar Mohd Azam, sebanyak 44 institusi pondok yang berdaftar menerima peruntukan sebanyak RM225,000, manakala 88 institusi di bawah Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA) menerima RM176,000.

​“Untuk makluman, nilai bantuan pada tahun ini adalah berdasarkan bilangan pelajar bagi setiap institusi berdaftar, dengan kadar antara RM4,000 hingga RM10,000. Institusi yang belum berdaftar pula menerima RM2,000,” jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendaftaran bagi memastikan setiap institusi memenuhi standard pendidikan yang ditetapkan dan layak menerima bantuan kerajaan.

​“Telah tiba masanya Institusi Pengajian Islam diperkasakan sesuai dengan arus pemodenan semasa. Pihak kerajaan mahukan institusi ini terus wujud sebagai benteng ketahanan akidah umat Islam dan warisan peradaban negara,” katanya lagi.

​Majlis tersebut turut meraikan para pemenang Pertandingan Video Pendek sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Sebanyak 23 video penyertaan akan disiarkan di platform media sosial rasmi Kerajaan Negeri dan Menteri Besar sebagai usaha mempromosikan institusi-institusi tersebut.

​Sempena Tahun Melawat Kedah juga, beliau mengumumkan pelancaran Program Pelancongan Ilmu serta Pameran Institusi Ulama dan Pondok yang akan diadakan dengan kerjasama Muzium Negeri Kedah dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -