
KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman mencipta kecemerlangan merangkul dua pingat emas, tiga gangsa serta dua anugerah khas daripada Korea dan Singapura pada International Exhibition of Inventions (IEI 2025) di Canton Fair Complex, Guangzhou, China.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan pelajar negeri ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang inovasi, penyelidikan dan kreativiti, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara.
“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh warga Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman atas kejayaan cemerlang.
“Sekalung penghargaan juga kepada para guru pembimbing, ibu bapa, pihak sekolah serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas sokongan serta bimbingan yang diberikan.
“Semoga Kelab Inovasi Imtiaz Kemaman (iSpark) terus melakar kecemerlangan di persada dunia dan menjadi inspirasi kepada generasi muda Terengganu untuk berdaya saing dalam dunia ilmu dan inovasi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Untuk rekod, kejayaan itu turut disokong oleh barisan penaja termasuk Yayasan Terengganu, PIBG SM Imtiaz YT Kemaman, EPIC Group Sdn Bhd, Agro Al-Faroua Junior, AAB Sdn Bhd, Pejabat Parlimen Daerah Kemaman, Pejabat DUN Kijal dan Pejabat DUN Air Putih.
Selain itu, kerjasama dan bimbingan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan TATI University College (TATIUC) turut memainkan peranan penting dalam memberi tunjuk ajar serta kepakaran kepada para peserta.
Seramai 22 pelajar serta empat guru pembimbing terlibat iaitu Ustaz Hafizuddin Roslan, Ustaz Izwan Abdullah, Cikgu Wan Noriah Wan Ramli dan Cikgu Tuan Izan Zuhaidah Tuan Perang. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











