Simposium PBT perkukuh fahami dasar negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Simposium Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh kefahaman dasar kerajaan negeri serta menyelaras hala tuju pembangunan di peringkat tempatan.

- Advertisement -

Menurut Hilmi Abdullah, langkah ini sekali gus memperkasa peranan Ahli Majlis sebagai pemangkin pembangunan mampan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, mesra rakyat dan berintegriti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri itu berkata, penganjuran simposium tersebut memberi penekanan kepada usaha memperjelaskan dasar semasa kerajaan negeri serta penyelarasan maklumat dalam kalangan Ahli Majlis.

“Simposium ini menjadi medan pengukuhan ilmu dan kefahaman mengenai peraturan serta garis panduan pembangunan, selain memperkukuhkan kepimpinan kerajaan tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan simposium berkenaan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Dua tajuk besar diangkat dalam simposium kali ini iaitu “Kepentingan Rancangan Tempatan (RT) di PBT” yang disampaikan Ketua Penolong Pengarah PLANMalaysia.

Juga “Integriti dan Akauntabiliti dalam Tadbir Urus PBT: Ke Arah Pentadbiran Beramanah” oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kelantan.

Katanya, Rancangan Tempatan Daerah (RTD) merupakan dokumen penting yang merangkumi aspek fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar yang perlu dihadam semua Ahli Majlis.

“PBT juga perlu merancang lebih awal pembangunan sebelum siapnya projek besar seperti Lebuhraya Central Spine Road – Kota Bharu Kuala Krai, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lapangan Terbang Antarabangsa dan Bandar Sempadan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, integriti dan tadbir urus beramanah pula menjadi teras utama memandangkan Kelantan memegang rekod kepimpinan sifar rasuah.

“Diharapkan semua anggota PBT dapat mengamalkan integriti tinggi dalam pentadbiran masing-masing demi kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil.

Simposium tersebut menghimpunkan 12 Yang Dipertua, Ketua Whip dan Setiausaha daripada 12 PBT seluruh Kelantan bersama 288 Ahli Majlis. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -