Seru adakan solat hajat untuk Misi Sumud Nusantara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta berdoa dan solat hajat memohon keselamatan serta mempermudahkan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam usaha mereka memecahkan kepungan Israel keatas penduduk Gaza.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia turut menghantar wakil seramai 15 delegasi melalui Sekretariat Sumud Nusantara diterajui Cinta Gaza Malaysia, telah berlepas pada 31 Ogos lalu.

“Insya-Allah, marilah kita sama-sama berdoa dan menunaikan solat hajat agar misi GSF yang disertai para aktivis kemanusiaan lebih 44 buah negara termasuk Malaysia dan beberapa negara lain berada dalam perlindungan tuhan.

“Allahuakbar! Semoga perjalanan mereka dipermudahkan, bantuan kemanusiaan selamat tiba, dan sahabat-sahabat kita di Gaza menerima bantuan yang disampaikan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di _Facebook_ semalam.

Media sebelum ini melaporkan misi terdiri 24 kapal laut itu berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol pada Ahad sambil membawa keperluan penting termasuk makanan dan ubat-ubat selain membawa mesej kemanusiaan.

Bahkan misi tersebut turut menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada 44 buah negara merentasi benua Eropah, Asia, Afrika, Amerika Selatan dan Timur Tengah mendesak supaya kepungan dihentikan dan menamatkan peperangan.

Pada petang Ahad lalu, kumpulan pertama kapal GSF telah berlepas dari Pelabuhan Barcelona sebelum terpaksa berpatah balik pada 1 September kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk sebuah kapal berlayar.

Kemudian misi tersebut menerusi pelayaran ke Gaza pada petang Isnin lepas dengan semangat untuk memecahkan kepungan regim Israel, membawa barangan keperluan penduduk yang menderita sejak serangan bermula pada 2023. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -