
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis merakamkan ucapan tahniah, doa dan sokongan penuh kepada Misi Sumud Nusantara yang kini belayar menuju Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di mana masih berada dalam kepungan dan penindasan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, seluruh rakyat negeri itu menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian para sukarelawan yang menyertai misi berkenaan walaupun sedar risiko bakal dihadapi ketika menempuh perjalanan jauh di Laut Mediterranean.
“Mudah-mudahan semua peserta misi ini diselamatkan oleh Allah SWT dan berjaya menyampaikan amanah rakyat Malaysia, khususnya rakyat Perlis, untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza yang kini hidup dalam keadaan amat tertekan dan kelaparan.
“Kami amat menghargai keberanian dan pengorbanan mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Bagi beliau, pelayaran tersebut bukan sekadar perjalanan biasa, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan serta solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin yang terus ditekan oleh sekatan berpanjangan rejim Zionis.
Seramai 15 peserta dari Malaysia menyertai misi bersejarah ini dan mereka menyertai armada kapal yang dinamakan Global Sumud Flotilla (GSF), yang turut disertai aktivis kemanusiaan daripada pelbagai negara.
Kapal berkenaan tidak membawa sebarang senjata, sebaliknya sarat dengan bekalan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan harian untuk disampaikan kepada penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan.
Mohd Shukri menegaskan, misi tersebut membawa suara kemanusiaan yang menolak kezaliman, selain menjadi lambang keberanian masyarakat dunia untuk menuntut keadilan buat Palestin.
“Mereka bukan sahaja membawa bekalan bantuan, tetapi juga membawa maruah negara, semangat solidariti dan mesej bahawa dunia tidak akan berdiam diri melihat penindasan di Gaza.
“Kami di Perlis mendoakan pelayaran mereka dipermudahkan, selamat tiba, dan berjaya memecahkan kepungan yang telah sekian lama menindas rakyat Palestin,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, doa seluruh rakyat Perlis sentiasa mengiringi perjalanan para sukarelawan terbabit agar urusan mereka dipermudahkan.
Misi Global Sumud Flotilla ini dijangka menjadi satu lagi simbol kebangkitan solidariti antarabangsa untuk menamatkan sekatan terhadap Gaza yang sudah berlangsung puluhan tahun.
Beberapa negara lain turut menghantar wakil dan kapal bagi memastikan suara kebebasan Palestin terus bergema di pentas dunia.
Negeri Perlis, jelas Mohd Shukri, akan terus menyokong setiap usaha kemanusiaan seumpama itu, selain mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memperbanyakkan doa dan solidariti buat perjuangan Palestin.
Sehingga kini, konflik di Gaza telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dengan majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 2.3 juta penduduk Gaza kini hidup dalam keadaan kritikal akibat sekatan menyeluruh yang menafikan akses kepada makanan, air bersih, ubat-ubatan dan elektrik.
Sekatan yang sudah berlarutan sejak 2007 itu telah menyebabkan Gaza digelar sebagai ‘penjara terbuka terbesar di dunia’, manakala lebih 80 peratus penduduknya bergantung penuh kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk meneruskan kehidupan.
Misi seperti Sumud Nusantara ini sekali gus dilihat sebagai sinar harapan baharu buat rakyat Gaza yang saban hari berdepan penindasan dan kezaliman tanpa henti. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











