
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan semangat ‘Sumud’ yang bermaksud keteguhan telah diterjemahkan menerusi sokongan rakyat dari rantau Nusantara terhadap perjuangan Palestin.
Menurut beliau, semangat itu bukan sahaja tidak pernah luntur, malah kini diterjemahkan melalui penyertaan dalam armada pelayaran awam terbesar ke Gaza setakat ini.
Beliau merujuk kepada Misi Gaza Solidarity Flotilla (GSF) yang kini sedang berlayar, menghimpunkan sukarelawan daripada lebih 44 buah negara.
“Gerakan ini bukan baharu, ianya lahir daripada rasa kemanusiaan yang sama sejak lebih sedekad yang lalu,” katanya yang juga Pengerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).
Menurut Muhammad Sanusi, gerakan solidariti ini telah melalui pelbagai fasa, bermula dengan misi kemanusiaan flotilla ke Gaza dan disusuli kempen kesedaran di media sosial.
Kini katanya, membentuk satu rangkaian aktivis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang kukuh merentasi Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.
Beliau menzahirkan kebanggaan terhadap rakyat Malaysia yang menterjemahkan sokongan dalam pelbagai bentuk tindakan nyata.
“Ada yang menjejakkan kaki ke Gaza dan kem pelarian di Jordan, Syria serta Lubnan, ada yang berkhidmat sebagai doktor dan jururawat, bahkan ramai juga yang setia menggerakkan tabung bantuan kecil di surau, sekolah dan universiti.
“Setiap titipan sumbangan adalah harapan yang membina jambatan untuk Palestin,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Misi GSF menyaksikan penyertaan dua pasukan dari Nusantara di mana armada tersebut memulakan perjalanan dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu, diikuti kumpulan kedua dan ketiga yang berlepas ke Catania, Itali dan Tunisia pada 4 September.
Malaysia menghantar kira-kira 15 sukarelawan bagi setiap kumpulan di mana antara menyertai misi bersejarah ini termasuk wakil Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Norazman Ishak dan Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Ahmad Safwan Ujar.
“Dari Nusantara, kita teguh bersama mereka!” tegas Sanusi, mengulangi komitmen rantau ini untuk memastikan Palestin tidak pernah bersendirian dalam perjuangan mereka. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











