
KANGAR: Empat buah rumah mengalami kerosakan kepada struktur selepas bumbung kediaman mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang melanda sekitar negeri ini pada petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di mana insiden tersebut bukan sahaja menyebabkan bumbung diterbangkan, malah turut menjejaskan struktur rumah-rumah terlibat.
Menurut maklumat, tiga rumah terkesan terletak di Kampung Guar Syed Alwi, manakala sebuah lagi rumah di Kampung Bangsal Lebah di mana kejadian ini sekali lagi mengingatkan penduduk tentang risiko cuaca tidak menentu yang sering melanda negeri Perlis.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah bersama Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Pramoot Puan serta Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar, Khairul Md Napiah turun ke lokasi di sekitar Kampung Guar Syed Alwi, semalam.
Mereka menziarahi mangsa ribut serta mengagihkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung keluarga terjejas dan bantuan susulan juga sedang diselaraskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tindakan susulan ini dilakukan selepas laporan polis berhubung kejadian ribut tersebut dibuat oleh mangsa dan kerajaan negeri menegaskan komitmen memastikan proses baik pulih kediaman berjalan segera agar mangsa dapat kembali menetap dengan selesa dan selamat. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











