30.7kg sisa laut dikutip penyelam di Pulau Perhentian

- Advertisement -

BESUT: Sebanyak 30.7 kilogram sisa berjaya dikutip dari dasar laut Pulau Perhentian oleh 80 penyelam dalam program Dive Against Debris yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

- Advertisement -

Datuk Razali Idris berkata, program pembersihan laut dan darat di pulau itu secara keseluruhan disertai seramai 384 peserta termasuk komuniti setempat, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan.

“Melalui aktiviti ‘Beach Clean Up’ di Kampung Nelayan, sebanyak 290 kilogram sampah berjaya dikutip, manakala para penyelam mengangkat kira-kira 30.7 kilogram sisa dari dasar laut. Sambutan kali ini amat membanggakan kerana penyertaan melebihi jangkaan.

“Target asal kita hanya 70 penyelam, namun seramai 80 orang telah turun ke laut dengan penyertaan keseluruhan 384 orang menjayakan program ini,” katanya pada majlis penutup program itu, di sini kelmarin.

Beliau berkata, program kali ini lebih istimewa kerana turut merangkumi pembersihan kampung (plogging), kerja membaik pulih pagar masjid dan gotong-royong membersihkan kawasan kubur bersama penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri itu berkata, inisiatif itu bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah mengeratkan hubungan komuniti dengan pelancong serta pihak berkuasa.

“Pulau Perhentian adalah antara destinasi pelancongan utama negara. Program seperti ini akan membantu memastikan ekosistem laut kita kekal terpelihara dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -