
KOTA BHARU: Inisiatif kebajikan digerakkan di negeri ini selaras dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang menekankan keseimbangan pembangunan duniawi dan ukhrawi.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, dadar tersebut berteraskan prinsip adil, ihsan dan berkat yang menjadi teras utama dalam setiap usaha pembangunan negeri.
Menteri Besar menyeru semua pihak iaitu para dermawan, tokoh korporat, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan seluruh masyarakat agar berganding bahu memperkukuhkan agenda kebajikan di negeri ini.
“Marilah kita sama-sama membina negeri ke arah yang lebih cemerlang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Yayasan Kasih Mutiara di sebuah hotel, di sini malam kelmarin.
Nassuruddin berkata setiap ringgit yang dibelanjakan di jalan Allah tidak akan sia-sia kerana ia menjadi milik sebenar yang akan diganjarkan berlipat kali ganda.
“Apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki,” ujarnya merujuk firman Allah dalam surah Saba’ ayat 39.
Beliau berharap dengan kehadiran Yayasan Kasih Mutiara akan lahir lebih ramai insan berjaya dan berbakti serta terbentuk masyarakat yang makmur, sejahtera dan dirahmati Allah.
Sementara itu, pengasas Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, berkata, sempena 50 tahun perjalanan beliau dalam dunia keusahawanan sehinga berjaya mengembangkan pelbagai usaha niaga.
“Bermula dengan sebuah perjalanan kecil, saya bersyukur kerana usaha ini bukan sahaja membina perniagaan tetapi mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Majlis berkenaan turut mengumumkan enam Ahli Pemegang Amanah yayasan serta sumbangan awal berjumlah RM400,000 daripada syarikat di bawah kumpulan beliau.
Yayasan Kasih Mutiara turut menyerahkan sumbangan RM10,000 masing-masing kepada Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Furqani, Dusun Raja dan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM).
Selain itu, dermasiswa RM1,000 turut diberikan kepada 13 anak kakitangan kumpulan syarikat yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Juga biasiswa penuh bernilai RM60,504 kepada tiga pelajar separuh masa yang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











