
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang membidas sikap kerajaan negeri yang dilihat gagal bertindak terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui daripada DAP, meskipun jelas membela penceroboh durian musang king serta mengganggu operasi penguatkuasaan.
Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Fahmie Zakaria berkata, kegagalan mengambil tindakan hanya menimbulkan persoalan rakyat sama ada undang-undang negara ini hanya berfungsi untuk menghukum orang kecil, tetapi lemah apabila berdepan dengan wakil rakyat DAP.
“Dewan Pemuda PAS Pahang memandang serius ketelusan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Chow Yu Hui, yang telah secara terbuka membela penceroboh durian musang king dan mengganggu operasi penguatkuasaan undang-undang di negeri ini.
“Walaupun laporan polis dan tuduhan telah dibuat, tindakan ke atas Chow Yu Hui seolah-olah seperti dibakul sampahkan. Persoalannya, adakah undang-undang hanya berani bertindak keras ke atas rakyat kecil, tetapi menjadi lemah gemalai apabila berdepan dengan wakil rakyat DAP?
“Ini hanyalah tanda ‘double standard’ yang amat memalukan,” katanya menyifatkan tindakan DAP membela penceroboh tanah kerajaan negeri adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Pahang semakin goyah, bercelaru dan hilang arah.
Beliau bagaimanapun mengakui Ops Sekat Fasa 4 wajar dipuji kerana berjaya merampas ribuan ekar tanah haram serta menahan beberapa individu, namun kejayaan itu tidak membawa sebarang makna jika kerajaan negeri masih tunduk kepada desakan politik.
“Dewan Pemuda PAS Pahang menegaskan bahawa tanah negeri ini bukan milik tauke atau penceroboh yang dibela oleh mana-mana parti politik. Jika kerajaan negeri benar-benar serius, buktikan dengan tindakan tanpa memilih bulu.
“Jangan biarkan rakyat melihat seolah-olah kerajaan sendiri gagal mengurus dan seperti tunduk kepada DAP,” ujarnya mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai.
Umum menurutnya, melihat Chow Yu Hui terus kekal kebal, DAP terus membela penceroboh, manakala kerajaan negeri pula hilang maruah kerana bergantung nyawa kepada parti itu. – HARAKAHDAILY 4/9/2025











