Hari Kebangsaan dan semangat juang Nabi SAW

- Advertisement -

TUMPAT: Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 memberi makna besar apabila ia diraikan dengan mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW dan pejuang kemerdekaan tanah air.

- Advertisement -

Majlis berkenaan diserikan dengan perarakan Maulidur Rasul di Masjid Ittihadi, Mukim Kubang Sawa dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, di sini.

Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, aktiviti keagamaan wajar diselit bersama acara lain termasuk pertunjukan kesenian dan perarakan bagi memberi makna lebih mendalam terhadap sambutan kemerdekaan.

“Penduduk yang hadir melaungkan selawat ke atas Junjung Besar Nabi Muhammad SAW sambil mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada agama dan tanah air,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu.

Lebih istimewa katanya, sambutan kali ini berlangsung bertepatan dengan Hari Kebangsaan ke-68 yang menyatukan kecintaan kepada Rasulullah dengan semangat cintakan tanah air.

“Perpaduan antara dua semangat ini memberi makna besar, mengingatkan kita bahawa asas kemerdekaan terletak pada akhlak mulia, persaudaraan dan pengorbanan yang diwariskan daripada perjuangan Baginda serta para pejuang tanah air,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sambutan yang meriah kerana ia menampilkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menghidupkan sunnah serta mengimarahkan syiar Islam.

Sempena program itu turut diadakan perarakan kenderaan dua roda dan tiga roda termasuk basikal yang mengelilingi kampung, disertai kanak-kanak, belia dan warga emas. – HARAKAHDAILY 4/9/2025

- Advertisement -