
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh agenda usahawantani sebagai teras pembangunan ekonomi dalam kalangan rakyat negeri ini.
Bengkel Agri Bio Class: Penghasilan Produk Hiliran Berasaskan Kelulut yang berlangsung di Dewan Fiber, Institut Latihan LKTN menjadi antara usaha ke arah itu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd selaku penganjur utama serta Biotajmeel Cosmeceutical Sdn Bhd atas kerjasama menyediakan penceramah bagi sesi perkongsian ilmu.
Beliau berkata industri kelulut tidak lagi terhad kepada pengeluaran madu semata-mata, sebaliknya terus berkembang dengan penghasilan produk hiliran bernilai tambah seperti sabun badan dan serum rambut.
“Produk berasaskan kelulut berpotensi besar dipasarkan kerana permintaan terhadap barangan kesihatan dan kecantikan berasaskan bahan semula jadi semakin meningkat,” katanya.
Sepanjang bengkel itu, peserta turut didedahkan dengan sesi teori dan praktikal penghasilan produk serta menerima kit lengkap menghasilkan sabun badan berasaskan kelulut.
“Pendekatan ‘hands-on’ ini meningkatkan keyakinan peserta bahawa produk hiliran kelulut boleh diusahakan sendiri dengan kreativiti serta inovasi masing-masing,” ujar beliau.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited membangunkan sektor pertanian dengan menyediakan sokongan teknikal dan latihan melalui agensi berkaitan termasuk Kelantan Biotech dan Jabatan Pertanian.
Beliau berkata, usaha itu juga menggalakkan penghasilan produk hiliran bernilai tinggi seperti kosmetik, sabun, serum rambut dan produk kesihatan lain sekali gus meningkatkan nilai tambah industri.
“Konsep pertanian sebagai ibadah dan Gerakan Pertanian Al-Falah turut diterapkan agar penglibatan usahawan dalam industri ini bukan sahaja menjana ekonomi tetapi juga membawa keberkatan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau optimis dengan inisiatif yang dilaksanakan, Kelantan mampu muncul sebagai negeri peneraju dalam produk pertanian bernilai tambah termasuk madu kelulut dan produk hilirannya.
“Saya yakin dengan sokongan kerajaan, kerjasama industri dan usaha bersungguh-sungguh peserta, lebih ramai usahawan berdaya saing dapat dilahirkan demi meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2025





















