Sumud Nusantara ke Gaza: Doa, solidariti Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan sokongan penuh dan doa kepada pasukan Sumud Nusantara yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), misi maritim antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menguji sekatan berlarutan lebih 18 tahun.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penyertaan anak-anak Terengganu dalam misi itu membawa nama serta doa rakyat negeri yang penuh dengan amanah.

“Kerajaan Negeri Terengganu mendoakan agar seluruh peserta Sumud Nusantara dipermudahkan perjalanan, dilindungi Allah SWT dan diberikan kekuatan untuk menunaikan tanggungjawab mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Misi GSF menghimpunkan sukarelawan daripada lebih 44 negara, menjadikannya armada pelayaran awam terbesar ke Gaza setakat ini.

Armada berkenaan memulakan perjalanan dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu, diikuti kumpulan kedua dan ketiga yang berlepas ke Catania, Itali dan Tunisia masing-masing pada 31 Ogos dan 4 September.

Malaysia menghantar kira-kira 15 sukarelawan bagi setiap kumpulan, melibatkan pelbagai NGO dan relawan kemanusiaan.

Menurut Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, pemergian mereka bukan sahaja membawa bantuan makanan, ubatan dan keperluan asas, malah menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia, khususnya Terengganu, berdiri teguh bersama rakyat Palestin.

“Rakyat Terengganu diseru untuk terus berdoa secara konsisten dan memberi sokongan moral atau sumbangan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Semoga keberanian dan ketabahan pasukan Sumud Nusantara menjadi inspirasi kepada generasi muda, agar terus peka dan mengambil tindakan terhadap isu kemanusiaan sejagat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -