
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan sektor agromakanan melalui dasar progresif dan insentif bersasar bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani moden yang mampu menembusi pasaran global.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, kerajaan mahu melihat lonjakan dalam kalangan peladang, penternak, dan nelayan melalui penerapan teknologi dan inovasi terkini.
”Kerajaan mahu melihat lebih ramai peladang moden, penternak berteknologi, nelayan berinovasi, serta usahawan tani yang mampu menembusi pasaran global,” ujarnya berucap merasmikan Majlis Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Taman Jubli Emas, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penganjuran HPPN yang menampilkan 16 kluster pameran khusus adalah platform untuk mengangkat potensi sektor agromakanan serta memberi ruang kepada usahawan dan peniaga kecil untuk menjana pendapatan dan mempromosikan produk mereka.
Ujarnya, matlamat utama adalah untuk memastikan teknologi yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
”Apa yang lebih penting adalah teknologi dan inovasi yang dihasilkan dapat diterima dan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan bagi memajukan serta merancakkan industri dalam menghadap pelbagai rintangan di era serba mencabar ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dzowahir menyeru semua pihak agar bekerjasama erat bagi memastikan sektor agromakanan negeri terus mampan dan berdaya saing.
”Marilah kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat kolaboratif antara kerajaan, industri dan rakyat bagi memastikan sektor agamakanan negeri Kedah kekal mampan, berdaya saing dan menjadi peneraju dalam jaminan makanan negara,” serunya.
Majlis penutup tersebut turut diserikan dengan penyampaian insentif daripada Jabatan Pertanian kepada para usahawan tani yang berjaya. – HARAKAHDAILY 3/9/2025












