
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah susulan beberapa insiden yang membabitkan keselamatan pelancong baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pasukan itu akan beroperasi setiap tahun mulai Mac hingga Oktober iaitu musim puncak kedatangan pelancong ke kedua-dua pulau peranginan tersebut.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua Polis Daerah Besut akan mengetuai pasukan berkenaan dan Balai Polis Perhentian dijadikan pusat panggilan (call centre) sepanjang operasi.
“Operasi ini hanya meliputi kawasan pulau sepanjang musim pelancong bagi tempoh tersebut. Ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Agensi terlibat termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Juga Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Wakil pengusaha pelancongan dan komuniti setempat juga akan dilibatkan dalam pasukan tersebut.
Beliau berkata, antara langkah utama dipersetujui ialah memperketatkan aspek keselamatan pelancong dan memastikan semua agensi bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan khususnya ketika musim pelancong yang ramai.
“Jabatan Laut Malaysia bersetuju menyediakan kemudahan logistik termasuk bot bagi tujuan kecemasan,” katanya.
Razali berkata, usaha itu diyakini dapat meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus memilih pulau-pulau peranginan di Terengganu sebagai destinasi utama.
“Kerajaan negeri yakin penubuhan pasukan ini dapat meningkatkan keyakinan pelancong serta memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan di Terengganu,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, Perairan Pulau Perhentian menjadi perhatian berikutan insiden sebuah bot pelancong terbalik yang menyebabkan tiga penumpang maut termasuk dua kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











