
KOTA BHARU: Potensi pelaburan strategik di Tok Bali, Lojing Highlands dan Bandar Baru Tunjong menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam menjalin hubungan dengan Jepun.
Malah, peluang kerjasama kedua pihak juga bakal dipergiatkan lagi dalam sektor pelancongan, program pertukaran pelajar serta pembangunan kebudayaan
Pertemuan bersama Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, dilihat sebagai landasan penting memperkukuh kerjasama dua hala selari dengan aspirasi Dasar Pandang ke Timur Malaysia.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan telah menerima kunjungan hormat Duta Jepun tersebut di pejabatnya, di sini.
Mohamed Fadzli berkata Jepun mempunyai rekod pelaburan baik di Kelantan antaranya menerusi syarikat ROHM-Wako yang telah lama beroperasi di negeri ini dan menjadi contoh kejayaan pelaburan bersama.
“Kelantan juga baru-baru ini mengambil bahagian dalam Expo Osaka 2025 menerusi penganjuran Kelantan Week sebagai usaha mempromosikan potensi negeri di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri komited membuka ruang kerjasama lebih luas dengan Jepun sekali gus merancakkan hubungan ekonomi serantau.
Sementara itu, Shikata menyatakan minat untuk melihat kerjasama erat dalam pembangunan ekonomi negeri termasuk dalam bidang sumber asli khususnya nadir bumi bukan radioaktif.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan kepimpinan matang yang diamalkan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebagai asas penting memperkukuh kerjasama dua hala. – HARAKAHDAILY 3/9/2025




















