
JOHOR BAHRU: Gangguan berterusan sistem MyKasih bagi Bantuan Sara RM100 yang tergendala beberapa hari telah menyulitkan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sangat bergantung kepada bantuan itu bagi menampung kos sara hidup harian.
Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor, Abdul Aziz Yunos berkata, rakyat hari ini bukan menolak kemajuan kerana Malaysia antara yang paling cepat menerima teknologi global, daripada telefon pintar sehinggalah kecerdasan buatan (AI).
Katanya, hampir semua peringkat umur di negara ini tanpa mengira jurang kehidupan sudah mempunyai akses kepada kemudahan digital, namun rakyat terus berdepan kesulitan kerana kelemahan infrastruktur asas negara.
“Internet di Malaysia masih tidak konsisten, dan sistem kerajaan di hampir semua sektor tidak cekap hingga membebankan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, kemajuan digital tidak boleh hanya gah pada slogan tetapi gagal dalam pelaksanaan.
“Apa maknanya kemajuan jika rakyat terus dipaksa menanggung penat dan kecewa setiap kali sistem kerajaan tergendala?” tempelaknya.
Cadangan penambahbaikan
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan segera iaitu meningkatkan infrastruktur digital dengan menambah baik liputan internet serta kelajuan capaian di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.
“Keduanya, menambah keupayaan server dan pusat data kerajaan agar sistem mampu menampung jumlah pengguna yang tinggi tanpa gangguan.
“Ketiga, melaksanakan ujian rintis sebelum pelaksanaan besar-besaran, supaya kelemahan dapat dikenal pasti dan diperbaiki terlebih dahulu.
“Keempat, menubuhkan pasukan respons pantas untuk menangani sebarang gangguan teknikal secara segera dan telus kepada rakyat,” cadangnya.
Kerajaan juga serunya, perlu menumpukan perhatian kepada pembangunan sistem yang benar-benar stabil, pantas, mesra pengguna dan berfungsi demi rakyat.
“Kelemahan dalam pelaksanaan hanya akan menambah hilangnya keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini. Kemajuan sebenar ialah apabila rakyat tidak lagi berdepan kesulitan dalam mendapatkan hak mereka,” ulasnya.
Terdahulu media tempatan melaporkan gangguan sistem MyKasih itu menyebabkan ramai penerima meninggalkan barangan selepas dimaklumkan transaksi tidak dapat diproses.
Keadaan itu menurut laporan itu menimbulkan rungutan penerima, termasuk warga emas yang terpaksa datang berulang kali atau menggunakan wang sendiri untuk membeli barangan keperluan.
Mereka berharap kerajaan segera menyelesaikan masalah ini kerana bantuan amat penting khususnya kepada golongan berpendapatan rendah. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











