
KOTA BHARU: Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, Lee Kuan Yew pernah mengakui ada sesuatu yang istimewa pada negeri Kelantan ketika bertemu bekas Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Naib Presiden PAS itu membawa kisah bekas Perdana Menteri Singapura tersebut ketika menyampaikan ceramah isu semasa anjuran PAS Kawasan Kota Bharu di pekarangan Kompleks Masjid Rithauddin dekat sini Ahad lalu.
“Jika orang luar pun boleh nampak kelebihan Kelantan apakah alasan kita sendiri untuk memperkecilkan tanah yang begitu banyak berjasa ini?
“Atas sebab itu, tidak keterlaluan untuk ditegaskan bahawa orang Kelantan yang sanggup menghina tanah tumpah darahnya sendiri sebenarnya menafikan kebenaran,” katanya.
Menurut beliau, akal sihat tidak akan mengizinkan seseorang merendahkan negeri yang membesarkan mereka, tempat meniti kehidupan, mencari rezeki dan membina keluarga.
Katanya Kelantan bukanlah sebuah negeri yang sempurna, malah tidak pernah ada siapa pun mendakwa begitu, kerana sebagai manusia tidak terlepas daripada kekurangan, kesilapan dan kelemahan.
“Namun di sebalik segala keterbatasan itu, sepanjang 35 tahun memimpin Kelantan, jalan yang dipilih tetap jalan yang benar. Meletakkan asas Kelantan “Membangun Bersama Islam” sejak tahun 1990 adalah satu keputusan yang penuh hikmah.
“Sejarah pemerintahan Islam sendiri sudah membuktikan kewibawaan tamadun yang mengatasi segala peradaban lain,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.
Menyentuh mengenai sejarah pentadbiran Islam, Mohd Amar menjelaskan, dalam khazanah ilmu Islam, para ulama sejak dahulu telah mengupas persoalan pentadbiran, politik dan ekonomi.
Jelasnya, Ibnu Taimiyah menulis As-Siyasah as-Syar‘iyyah yang membicarakan urusan pemerintahan, pengurusan negara, termasuk aspek keadilan sosial, ekonomi dan peranan pemerintah.
“Abu ‘Ubaid al-Qasim pula menghasilkan kitab al-Amwal yang khusus membincangkan urusan kewangan negara dan menulis kitab al-Kharaj yang menjadi rujukan penting tentang cukai dan hasil bumi dalam negara Islam,” katanya.
Beliau menambah, itu belum lagi ditambah dengan ratusan kitab moden yang boleh menjadi panduan pada hari ini.
“Jangan sekali-kali terlintas dalam hati bahawa ulama tidak tahu mengurus ekonomi, hakikatnya pandangan mereka jauh lebih luas kerana berpaksikan wahyu,” katanya.
Beliau turut menegaskan Malaysia memiliki jajaran penjawat awam serta pegawai profesional yang diiktiraf antara terbaik di dunia, hanya menanti dipandu oleh pemimpin yang benar-benar berwawasan.
Turut menyampaikan ceramah malam itu ialah aktivis Badrul Hisham Shaharin dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.
Hadir sama Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Shaari Mat Yaman, Ketua Muslimat Kawasan, Rohani Ibrahim dan Ketua Pemuda Kawasan, Marwan Husin. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











