
KOTA BHARU: Konvensyen Halaqat Negeri Kelantan 2025 menjadi wadah penting untuk mengukuhkan hubungan strategik antara pendakwah dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha tersebut bagi memperluas jalinan kerjasama yang lebih terancang dalam memperkasakan agenda dakwah agar terus ke hadapan.
“Konvensyen ini sangat signifikan kerana memberi ruang memperkukuhkan kefahaman dan pendekatan dakwah yang sesuai dengan cabaran semasa,” katanya sewaktu merasmikan konvensyen berkenaan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu, pendakwah adalah barisan hadapan yang mendepani cabaran dan ancaman terhadap masa depan Islam, khususnya di Kelantan.
“Kerja dakwah bukan hanya tugas segelintir pihak, sebaliknya tanggungjawab kita semua. Pendakwah mesti memahami bahawa dakwah bukan sekadar berceramah, tetapi menghidupkan Islam dalam kehidupan seharian,” katanya.
Menurut beliau, dakwah yang berkesan adalah melalui teladan dan tindakan, selari dengan maksud pepatah Arab bahawa bahasa melalui teladan lebih berkesan daripada bahasa percakapan.
Nassuruddin berkata, penubuhan Halaqat sejak awal pentadbiran “Membangun Bersama Islam” adalah medan utama menyuburkan kefahaman Islam dalam masyarakat, selain menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Selain mengajar, pendakwah juga mesti menjadi lidah kerajaan bagi menjelaskan dasar, agenda dan menyelesaikan permasalahan rakyat,” ujarnya.
Katanya, dakwah memerlukan kekuatan ilmu melalui penguasaan al-Quran, hadis, sirah serta kefahaman fiqh bagi menghadapi cabaran pemikiran dan mehnah perjuangan yang semakin mencabar.
Beliau turut mengingatkan pendakwah agar memainkan peranan sebagai pendamai dan pencerah dalam masyarakat dengan membawa maklumat tepat mengenai dasar serta program kerajaan negeri.
“Apabila Islam difahami dan dihayati sebaiknya oleh pimpinan, jentera serta rakyat, Insya-Allah penilaian yang tepat dapat dibuat untuk terus bersama perjuangan Islam, dan Kelantan akan kekal sejahtera bersama Islam sampai bila-bila,” ujarnya.
Konvensyen yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) selama sehari itu turut menekankan keperluan memperkasakan pendakwah dengan ilmu dan kefahaman yang mantap agar mampu menangani cabaran akidah dan pemikiran umat Islam. – HARAKAHDAILY 3/9/2025




















