
KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) tetap berpendirian menolak Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dikemukakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ia walaupun Menteri KPKT dilaporkan oleh media berkata bahawa Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berjanji pembangkang tidak akan membantah RUU tersebut apabila ia dibentangkan untuk perbahasan dan pengundian pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Ketua Pembangkang itu dilaporkan oleh media berkata, pembangkang tidak menolak undang-undang yang dicadangkan itu dan hanya mahu perbahasan ditangguhkan bagi membolehkan perbincangan yang lebih mendalam dan bersedia menyokong sekiranya ia diperhalusi.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar A Samad berkata, REACH dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tidak menentang sebarang usaha untuk menambah baik kualiti kediaman dan kehidupan rakyat.
Namun, beliau yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor berpandangan terdapat akta dan kaedah sedia ada yang membolehkan pembaharuan semula bandar dilaksanakan.
Menurutnya, REACH telah menganjurkan satu perbincangan meja bulat pada 29 Jun tahun lalu di Ampang dan mencadangkan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian bagi sebarang pembaharuan semula.
“Setelah RUU tersebut dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, REACH mendapati ia tidak selari dengan saranan-saranan kami serta gagal meredakan kebimbangan NGO-NGO dan orang ramai.
“Justeru kami berpandangan RUU ini tidak mungkin dapat ditambah baik tanpa sebarang rombakan besar-besaran dan kami tetap menolak RUU tersebut,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Kebimbangan REACH
Menurutnya, antara kebimbangan REACH ialah ambang persetujuan (consent) yang tidak selari dengan Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Hakmilik Strata 1985, selain tiada dinyatakan rundingan dengan pemilik dari peringkat awal sebelum kawasan pembaharuan semula bandar diisytiharkan.
Beliau berkata, tiada proses bantahan yang jelas dan berkesan oleh pemilik terhadap pengisytiharan kawasan pembaharuan semula bandar, di samping pemilihan pemaju yang tidak telus serta tidak melibatkan pemilik dalam sebarang proses pemilihan pemaju.
Katanya lagi, tidak ada ruang untuk bantahan oleh pemilik terhadap pelantikan pemaju, manakala kuasa Menteri KPKT juga terlalu besar dalam menentukan kaedah-kaedah pelaksanaan.
Selain itu, beliau yang bertanggungjawab menerajui portfolio perumahan semasa dalam Kerajaan Selangor menegaskan, RUU berkenaan tidak menetapkan kuota untuk Rumah Mampu Milik serta kuota perumahan Bumiputera.
“Pemilik juga tidak dilayan seperti rakan kongsi dan tidak dinyatakan dengan jelas kaedah menentukan pulangan untuk pemilik, sama ada berdasarkan nilai semasa atau cadangan berdasarkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek yang dibangunkan.
“(Paling besar kebimbangan kami ialah) pembaharuan semula bandar ini tidak dilaksanakan secara sukarela tetapi secara paksa dengan membolehkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Oleh yang demikian, kami (serta) setiap Ahli Parlimen yang prihatin terhadap hak rakyat menolak RUU ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 3/9/2025











