Hari Anugerah Cemerlang, KoKu SMK Derma meriah

- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Derma 2025, di sini Khamis lalu.

- Advertisement -

Majlis penuh meriah itu bertujuan memberi penghargaan kepada para pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum, sekali gus menyuntik semangat untuk terus berusaha serta bersaing ke arah kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail dan Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan, serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Muhammad Azmir Azizan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, pengetua serta guru besar sekolah-sekolah Perlis, ibu bapa, pelajar-pelajar cemerlang dan jemputan khas.

Tuanku Raja Perlis berkenan mengurniakan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang, manakala Menteri Besar turut menyampaikan anugerah kepada penerima yang terpilih.

Kejayaan ini diharap menjadi sumber inspirasi buat seluruh pelajar untuk terus melakar kecemerlangan akademik dan sahsiah pada masa akan datang.

Penganjuran program tahunan ini bukan sahaja menjadi wadah pengiktirafan, malah berperanan membina budaya sekolah yang positif melalui pelbagai aktiviti mencungkil bakat, menggilap sahsiah serta memperkukuh hubungan kerjasama antara ibu bapa, murid, pihak pentadbir dan guru.

Majlis ini turut memupuk semangat kebersamaan, keterampilan serta ukhuwah utuh dalam kalangan seluruh warga sekolah dan komuniti setempat. – HARAKAHDAILY 3/9/2025

- Advertisement -