Apa di sebalik rusuhan di Indonesia

- Advertisement -

SEJAK 25 Ogos lalu, gelombang protes anti kerajaan secara besar-besaran mula melanda Indonesia dan kini telah memasuki fasa yang mampu mengancam kestabilan ekonomi mahu pun struktur politik Indonesia.

Akibat daripada kekalutan dan seriusnya ancaman yang sedang melanda ketika ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah membatalkan lawatannya ke China bagi menangani situasi tegang saat ini.

Semuanya bermula berikutan pendedahan bahawa 580 Ahli Parlimen Indonesia menerima elaun perumahan yang amat tinggi di kala rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dan krisis ekonomi yang sedang melanda.

- Advertisement -

Ia dilihat sebagai ketidakseimbangan dan ketamakan golongan elit politik oleh warga Indonesia. 

Di samping itu juga, polisi ekonomi pentadbiran Prabowo yang lain juga turut menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Indonesia.

Di kala ketegangan semakin memuncak, kematian seorang pemandu ojek (motosikal e-hailing) yang dilaporkan dilanggar kenderaan polis menyebabkan keadaan bertukar menjadi lebih tegang.

Ketika itu telah didesak agar Prabowo dan anggota pentadbirannya meletakkan jawatan, membubarkan parlimen dan dilakukan reformasi ekonomi. 

Namun, protes bertukar menjadi ganas apabila Ahli Parlimen (DPR) daripada Parti Nasional Demokratik (NasDem) Ahmad Sharoni mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat yang menuntut pembubaran parlimen sebagai ‘manusia yang paling bodoh di dunia’.

Ketika ini, rusuhan telah merebak ke beberapa lagi bandar utama di Indonesia dan telah meragut empat nyawa. 

Banyak bangunan kerajaan  dibakar dan dimusnahkan, begitu juga beberapa rumah Menteri dan Ahli Parlimen termasuk rumah Ahmad Sharoni diceroboh dan dirampas barangan di dalamnya.

Namun, di sebalik semua ini, beberapa bulan lalu muncul beberapa laporan bahawa sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan rangkaian media Indonesia yang begitu kritikal menyerang Kerajaan Indonesia dilaporkan mempunyai kaitan dan kepentingan dengan kuasa asing.

Presiden Prabowo juga sebelum itu menyatakan bahawa terdapat usaha kuasa asing yang sedang cuba memecah belahkan Indonesia dan menggagalkan rancangannnya memajukan negara. 

Prabowo juga mendedahkan bahawa rangkaian media dan NGO tersebut jelas dibiayai oleh negara asing termasuk media yang dikuasai oleh entiti asing. 

Operasi ‘regime change’ atau ‘colour revolution’ dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan sesebuah negara sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik bukan sesuatu yang baharu bagi kuasa besar dunia khususnya dari Barat.

Kegawatan ekonomi Asia pada tahun 1997 yang menyebabkan menjunamnya nilai ringgit dan ekonomi Malaysia berpunca daripada tindakan kuasa asing dari Barat.

Ketika ini, yang dikatakan ‘colour revolution’ yang sedang berlaku di Serbia dan Georgia di mana pelajar dan mahasiswa sedang melakukan protes besar-besaran menuntut kerajaan meletakkan jawatan juga dikatakan didalangi oleh kuasa asing dari Barat.

Adakah benar sedang berlaku ‘colour revolution’ atau ada perancangan di sebalik tabir untuk memporak-perandakan kestabilan dan kemakmuran Indonesia?

Apa sekali pun, adalah diharapkan apa yang berlaku di Indonesia saat ini mampu diselesaikan sebaik mungkin dan keamanan dapat dipulihkan seberapa segera. 

Paling penting, usah jemput kuasa asing campur tangan hal ehwal dalaman negara kerana ia bakal menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan integriti sesebuah negara.

Rintihan dan keluhan rakyat perlu didengari dan ditangani kerana rakyat adalah tonggak utama kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan sesebuah negara.

Semoga Indonesia terus kekal makmur dan sejahtera. -HARAKAHDAILY 1/9/2025

- Advertisement -