Kedah komited dasar berkebajikan sejak 2020

- Advertisement -

SIK: Kerajaan Negeri Kedah memberi jaminan akan terus komited menjadikan dasar berkebajikan sebagai teras pentadbirannya selagi diberi mandat oleh rakyat, satu pendekatan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak Mei 2020.

- Advertisement -

​Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, komitmen ini bukan sekadar retorik tetapi dizahirkan melalui slogan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”.

​”Dasar berkebajikan ini telah diamalkan sejak dahulu dan kekal menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program Kebajikan dan Advokasi Perundangan ‘Kedah Sejahtera: Rakyat Disantuni’ 2025 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), di sini semalam.

​Bagi memperkukuhkan lagi dasar tersebut, beliau berkata satu lagi slogan diperkenalkan iaitu “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti”.

​”Tujuannya adalah untuk memupuk sikap berkasih sayang, bertanggungjawab dan bantu-membantu antara orang yang berkemampuan dengan mereka yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

​Beliau menambah, pelbagai inisiatif di bawah dasar ini telah dilaksanakan, termasuk program advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

​”Orang kaya bertolak ansur dan mengasihi orang miskin. Orang miskin pula akan menghargai, menghormati dan mengasihi orang kaya. Inilah yang ingin kita pupuk dalam slogan yang kita gagaskan sejak lima tahun lalu,” ucapnya.

​Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat tentang peranan mereka dalam memastikan dasar ini sampai kepada golongan sasar. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -